IPOH – Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang melarikan emas seberat 4.1 kilogram (kg) bernilai lebih RM1.5 juta dalam kejadian samun bersenjata di Jalan Bendahara, di sini pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 9.30 pagi.
Menurutnya, suspek terdiri daripada beberapa lelaki yang mengenakan topeng muka dan bersenjatakan parang serta sempat melarikan diri dengan menaiki tiga kenderaan.
Tambahnya, suspek terbabit melarikan diri menaiki kereta jenis Volvo berwarna putih, BMW warna coklat dan Toyota Estima warna hitam dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kejadian itu berlaku swaktu dua mangsa baru keluar daripada sebuah premis perniagaan di lokasi tersebut dan membawa beg berisi barang kemas dengan anggaran berat 4.1 kg yang bernilai RM1,549,800.
“Semasa mangsa hendak menyimpan beg tersebut di dalam bonet kenderaan, suspek-suspek telah meluru dan terus melanggar bahagian belakang kereta mangsa sebelum merompak mangsa.
“Dalam insiden tersebut, beberapa orang saksi awam telah melihat kejadian dan merakam video dengan menggunakan telefon bimbit bagi membantu siasatan polis.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek-suspek tersebut disyaki menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu dan menggunakan topeng muka bagi mengaburi pengecaman mangsa serta orang awam,“ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak forensik sedang menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian bagi mendapatkan bukti dan barang kes yang berkaitan serta kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan dan diharap tiada sebarang spekulasi dibuat mengenai kejadian itu yang boleh mengganggu siasatan,“ tegasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rompak bersenjata: Sembilan suspek, termasuk dalang wanita ditahan