IPOH – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Ipoh-Lumut, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Kwan Yiu Young, 24, yang memandu kereta jenis Honda Civic.
Menurutnya, seorang lagi mangsa, lelaki berusia 34 tahun, yang merupakan pemandu kereta jenis Proton Saga, mengalami kecederaan.
“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.14 petang dan setibanya di lokasi didapati kereta Proton Saga musnah terbakar kira-kira 90 peratus akibat kemalangan tersebut.
“Pemandu kereta Proton Saga berjaya keluar dari kenderaan, manakala seorang lagi mangsa ditemui tersepit di dalam kereta Honda Civic sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketua operasi membuat penilaian di lokasi dan mengaplikasikan konsep RECEO sebelum menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula air dari tangki jentera.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum ketua operasi mengaplikasikan konsep SAVER bagi melaksanakan kerja-kerja menyelamat.
“Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan pengusung sebelum mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu itu tamat sepenuhnya pada jam 5.08 petang,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua remaja maut, motosikal dinaiki masuk parit selepas berlanggar dengan kereta


