Beri OKU ruang, peluang untuk berdikari dan menyumbang kepada masyarakat

IPOH – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) perlu diberikan akses yang lebih luas kepada pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan, keusahawanan, aktiviti sosial, sukan dan kesenian bagi membolehkan mereka mengembangkan potensi serta menyumbang kepada masyarakat.

Isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin berkata, golongan OKU tidak seharusnya dilihat hanya melalui keterbatasan atau kekurangan yang ada pada diri mereka.

Menurutnya, setiap individu mempunyai kelebihan dan cabaran tersendiri, justeru perbezaan keupayaan tidak seharusnya menjadi sebab seseorang itu diketepikan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Kita perlu melihat potensi, kebolehan, bakat, daya juang dan sumbangan yang mampu mereka berikan kepada keluarga, masyarakat dan negeri.

“Setiap insan mempunyai kelebihan dan cabaran masing-masing. Ada yang dianugerahkan keupayaan untuk melihat, ada yang mendengar, ada yang berjalan, ada yang menggunakan tangan untuk berkarya dan ada yang mempunyai kelebihan dalam pemikiran, kreativiti serta kemahiran tertentu.

“Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, perbezaan keupayaan tidak seharusnya menjadi sebab seseorang itu diketepikan.

Beri OKU ruang, peluang untuk berdikari dan menyumbang kepada masyarakat
Isteri kepada Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) bergambar pada Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak Tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 OKTOBER 2026.

“Sebaliknya, perbezaan inilah yang sepatutnya mengajar kita untuk membina sebuah masyarakat yang lebih prihatin, lebih memahami keperluan mereka, menghormati hak mereka, menyediakan ruang dan peluang untuk mereka menikmati hidup seperti orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.

Dalam pada itu, Aezer yang juga Yang Dipertua Baiduri Perak berkata, ilmu pengetahuan memainkan peranan penting dalam membantu golongan OKU membina kehidupan yang lebih baik serta meningkatkan keupayaan mereka untuk berdikari.

“Selain golongan OKU, kita juga mahu keluarga dan penjaga mereka diberikan sokongan yang sewajarnya kerana mereka merupakan individu yang menyaksikan perjalanan hidup anak-anak OKU dari dekat.

“Kepada semua ibu bapa dan penjaga OKU, teruskan menjadi sumber kekuatan kepada anak-anak. Jangan melihat kekurangan sebagai penghalang kepada masa depan mereka. Berikan mereka peluang untuk mencuba, ruang untuk belajar dan keyakinan untuk berdikari,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2027: Peruntukan pembangunan modal insan OKU wajar ditingkatkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI