IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebak ketika menyentuh soal perumahan rakyat ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2025, pada Jumaat.
Beliau turut dilihat mengesat air mata ketika membacakan teks belanjawan yang menyentuh fokus pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat.
Menurut menteri besar, ketika turun di lapangan, hakikat yang sering meruntun emosi apabila masih ada keluarga yang bergelut untuk memiliki tempat yang dipanggil rumah.
Ujar beliau, rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi asas kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.
“Ada pula keluarga yang terpaksa berteduh di bawah bumbung yang hampir roboh dengan dinding berlubang dan lantai digenangi air.
“Rata-rata keluarga ini mengadu tidak mampu atau gagal mendapatkan pinjaman untuk membaiki rumah mereka yang usang.
“Kisah-kisah ini meruntun sanubari lantas menguatkan tekad kerajaan negeri untuk terus berikhtiar memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.
Saarani membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM1.52 bilion iaitu belanjawan yang tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah di Perak.
Mengekalkan tema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera, RM981.80 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, sementara RM538.0 juta untuk pembangunan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2025: RM1.52 bilion tertinggi dalam sejarah