Perak warta kawasan lebih luas ganti HSK Segari Melintang

IPOH – Kerajaan negeri Perak telah menggantikan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang dengan Hutan Simpan (HS) Durian Pipit yang diwartakan pada Mei tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penggantian itu dibuat selepas kerajaan negeri telah membatalkan sebahagian kawasan HSK Segari Melintang berjumlah 548.1 hektar itu bagi aktiviti pengkuarian.

“Tapak gantian kepada pewartaan keluar HSK Segari Melintang ini adalah di atas tanah kerajaan di Mukim Durian Pipit di Daerah Hulu Perak seluas 999.58 hektar yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Durian Pipit melalui Warta Kerajaan No. 1777 bertarikh 18 Mei lalu.

“Aktiviti pengkuarian yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan yang telah dibatalkan status sebagai sebahagian hutan simpan ini akan tertakluk kepada pemakaian tenemen mineral iaitu Pajakan Melombong di bawah kawalan Enakmen Mineral Perak (2003).

“Perkara tersebut akan diurus bersama dengan pemakaian Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

“Ini supaya segala pelaksanaan aktiviti pengkuarian ini akan dapat dijalankan dengan lestari, selaras dengan Agenda Perlombongan Bertanggungjawab di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030,“ katanya.

Perak warta kawasan lebih luas ganti HSK Segari Melintang
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 DISEMBER 2024.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri sedang meneliti semula kesesuaian dan potensi kawasan-kawasan di dalam HSK sebagai hutan perlindungan dan hutan pengeluaran termasuk sebahagian kompartmen 15, HS Segari Melintang supaya selari dengan tujuan pengkelasan fungsi hutan di bawah Seksyen 10, Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

Katanya, ini bertujuan untuk  memelihara dan melindungi ekosistem flora dan fauna di kawasan tersebut dan di semua kawasan hutan yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar.

“Kerajaan Negeri amat komited terhadap keperluan alam sekitar, sosial dan ekonomi ke arah pencapaian matlamat pengurusan hutan secara berkekalan.

“Sehubungan itu, hasil penelitian semula kesesuaian dan potensi kawasan-kawasan di dalam HSK ini akan dimasukkan ke dalam Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Perak 2026-2035,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Aktiviti pembalakan tidak dibenarkan di hutan simpan kekal – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI