Razman tak pernah bangkit isu PKNP, MAPS semasa dalam kerajaan – Shahrul Zaman

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya mempersoalkan Razman Zakaria yang ketika ini membangkitkan hal Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Taman Tema Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru Raya.

Shahrul Zaman berkata, beliau juga kesal apabila Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu tidak memberikan laluan untuk ADUN kerajaan mencelah ketika Razman membahaskan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Isnin.

“Pertama kali dalam sejarah ketua pembangkang tidak memberikan laluan untuk kami mencelah, dan ini tidak ‘gentleman’.

“Saya memohon mencelah semalam kerana hendak menyatakan bahawa kami (bersama Razman) pernah bersama-sama dalam barisan Exco kerajaan negeri.

“Ketika itu Yang Berhormat (ADUN) Sungai Manik (Datuk Zainol Fadzi Paharudin), dan Yang Berhormat Selama (Mohd Akmal Kamarudin) pun ada.

“Sepanjang tempoh itu Gunung Semanggol (Razman berada dalam kerjaaan) tidak pernah membangkitkan perihal PKNP, MAPS atau isu tanah di Seri Iskandar seperti yang disebutkan sebelum ini. Nampaknya (Razman) tiada konsistensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Sesi perbahasan pada Isnin, Razman menyentuh beberapa isu termasuk berkaitan laporan kewangan PKNP serta MAPS.

Dalam pada itu Shahrul Zaman yang juga bekas Exco Perak berkata, perpaduan yang berasaskan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan adalah asas kepada kestabilan negara.

Kata beliau, untuk itu Perak boleh menjadi negeri kritikal atau benar-benar dalam mewujudkan dasar yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Pemimpin politik perlu meletakkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan, dan menghindari politik perpecahan yang akan merosakkan negara.

“Politik berasaskan perpaduan akan membawa kepada kejayaan dan menjadi pilihan terbaik,” katanya lagi.

Ketika pentadbiran negeri diterajui Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Shahrul Zaman dan Razman antara 10 ADUN yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri pada tahun 2020.

Dua individu itu turut kekal menganggotai barisan Exco ketika pentadbiran Kerajaan Negeri Perak diterajui Datuk Seri Saarani Mohamad selepas Ahmad Faizal meletak jawatan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Razman mohon maaf pada Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI