IPOH – Seramai enam warga China yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan perjudian dalam talian atau ‘calling centre’ ditahan di sebuah rumah dalam kawasan berpagar di Sunway City, di sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, mereka yang ditahan sekitar jam 2 petang itu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 29 hingga 34 tahun.
Menurutnya, sindiket ini menggunakan aplikasi telegram dan laman sesawang yang diwujudkan khas untuk promosikan iklan tambah nilai bagi perjudian berkenaan serta menyasarkan mangsa dari luar negara terutamanya dari negara mereka.
“Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah mula beroperasi di lokasi berkenaan sejak bulan Oktober 2024.
“Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah dua unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, satu unit iPad, satu unit modem wifi dan sebuah kereta BMW.
“Ahli sindiket yang ditangkap berperanan sebagai pengendali ‘calling centre’, penyelia, penjaga akaun dan pegawai khidmat pelanggan.
“Urusniaga pembayaran pelanggan dibuat menerusi platform pertukaran mata wang kripto USDT daripada mata wang Renminbi (RMB),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 120B dan 420 Kanun Keseksaan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari mulai 3 hingga 6 Disember ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak pengurusan bangunan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pusat panggilan penipuan atau sebarang aktiviti jenayah yang berlaku supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk diambil tindakan lanjut.
“Selain itu, orang ramai juga diminta untuk sentiasa celik mata terhadap aktiviti-aktiviti yang dilakukan di dalam kawasan perumahan berpagar supaya tidak dijadikan sebagai sarang oleh penjenayah untuk menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis serbu ‘calling centre’, sindiket tawar pekerjaan tidak wujud tumpas