IPOH – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disyorkan untuk memberi penerangan lebih jelas berhubung Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH) kepada orang ramai supaya perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perkara tersebut penting supaya masyarakat faham dan dapat melihat perspektif sebenar mengenai GIBSH.
Menurutnya, sebelum ini orang ramai hanya mendapat maklumat berhubung perkara itu secara dasar dan terbatas melalui media.
“Saya rasa langkah pertama yang patut dibuat bahawa penerangan tentang GIBSH ini tidak cukup terang dan ramai yang dapat melalui media.
“Apatah lagi mereka yang tidak melanggan akhbar atau tidak mengikut cerita melalui akhbar, jadi tanggungjawab kita untuk memberikan penerangan.
“Justeru, saya ingin mencadangkan supaya JAKIM untuk mengaturkan siri penerangan kepada semua jawatankuasa masjid di setiap negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Khatan Pedalaman Untuk Anak-anak Orang Asli, Yatim dan Asnaf di Kampung Chadak, di sini pada Sabtu.
Program anjuran Pertubuhan Wanita Prihatin Perak itu melibatkan 52 kanak-kanak berusia antara 6 hingga 14 tahun.
Dalam pada itu, Mohd Annuar berkata, melalui mesyuarat yang diadakan JAKIM beliau dimaklumkan bahawa seramai 18,000 orang ahli GIBSH sudah dikenal pasti identiti melibatkan nama, umur dan pekerjaan.
Beliau turut menganggap ahli GISBH sebagai mangsa dan bukannya penjenayah disebabkan mereka tidak ada satu latar belakang yang kukuh tentang Islam.
“Pada saya ia satu tamparan, satu cabaran kepada agensi Islam sendiri mengapa begitu mudah orang boleh penetrate (menembusi) minda rakyat yang tidak daya tahannya, agak tidak kuatlah benteng pertahanan dan background (latar belakang) Islam, sedangkan kita sudah ada pendidikan Islam dari darjah satu di sekolah.
“Tetapi masih ada orang yang boleh terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyimpang daripada Islam yang sebenar.
“Jadi saya menganggap mereka sebagai mangsa dan saya menyeru kepada Jabatan Pendidikan terutama guru-guru agama di sekolah bahawa ini sebagai satu maklum balas yang ada kelemahan di pihak kita,” jelasnya.
Mohd Annuar berkata, beliau turut dimaklumkan kanak-kanak yang diselamatkan daripada pihak yang dikaitkan dengan GISBH telah ditanam dalam pemikiran mereka untuk melakukan revolusi Islam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Majoriti kanak-kanak GISBH di Perak sudah dituntut keluarga, waris