LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sembilan nelayan dan tiga tekong warga Indonesia bersama tiga bot di sekitar 24 batu nautika barat laut Pulau Pangkor, di sini petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bot tersebut dikesan oleh pasukan operasi KM Malawali yang sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga vesel dinaiki warga Indonesia itu tiada nombor pendaftaran dan disyaki menangkap ikan di dalam perairan Malaysia.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua warga Indonesia yang berasal dari Pantai Labu tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
“Setiap vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga orang kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 24 hingga 55 tahun.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan di dalam perairan Malaysia tanpa permit yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki sesuatu pas yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kesemua nelayan terbabit ditahan manakala vesel dan hasil tangkapan beserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Maritim tahan nelayan warga Myanmar di Pulau Rumbia