GERIK – Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak menyantuni mangsa banjir di sini, menyentuh perasaan mereka yang terjejas dalam bencana alam Oktober lalu.
Sumbangan berupa tilam, bantal, toto dan barang makanan amat diperlukan mangsa terjejas meskipun sudah dua bulan insiden berkenaan berlaku.
Bagi salah seorang mangsa, Nor Hafizah Mat Zaid, 38, kejadian banjir tersebut memusnahkan semua barang di dalam kediamannya ekoran limpahan air Sungai Rui berlaku dengan pantas pada waktu malam.
“Tahun lepas air naik tapi kami sudah sedia awal tapi tahun ini saya dan suami tiada di rumah, habis semua barang rosak tidak sempat diselamatkan.
“Perabot, barangan elektrik, tilam dan pakaian habis rosak dan bila Datuk Salbiah bersama SKM Perak dan Sekretariat Pembangunan Wanita Perak hadir memberi sumbangan ia benar-benar menyentuh hati kami.
“Selepas banjir barang seperti tilam, bantal, toto, amat diperlukan untuk alas kami tidur dan sudah dua kali banjir dan dua kali juga Datuk Salbiah hadir membantu kami. Terima kasih saya ucapkan,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, di sini.
Sementara itu, bagi Zulfakir Mohd Kharidi, 40, dan ibunya Azizah Abdullah, 76, menzahirkan terima kasih kepada ADUN Temengor dan juga SKM Perak yang turun melihat keadaan mangsa selepas banjir dan menghulurkan bantuan.
Dia turut mengalami kerugian barangan elektrik, perabot dan tilam yang rosak akibat banjir yang berlaku.
“Rasa bersyukur kerana diberi sumbangan oleh Datuk Sal (Salbiah) dan SKM yang meringankan beban kami mangsa banjir di Kampung Jong. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.
Seorang lagi penerima sumbangan, Wan Husin Awang Jaafar, 76, dari Kampung Padang Stang berkata, banjir yang berlaku menyebabkan pakaian, almari dan barangan lain rosak.
Dia yang menetap lebih 20 tahun di kampung tersebut menyifatkan kejadian berkenaan sebagai ujian dan berterima kasih dengan pihak yang memberi sumbangan.
Seramai 30 keluarga dari Kampung Kerunai, Kampung Jong, Kampung Padang Langgar dan Kampung Padang Stang di DUN Temengor menerima bantuan berupa tilam, bantal toto dan bantal dari SKM Perak dan Sekretariat Pembangunan Wanita Perak.
Program anjuran Pejabat DUN Temengor itu dijalankan dengan Kerjasama SKM melalui program Dari Mata Turun Ke Hati, SKM Cakna Komuniti: ‘SKM Prihatin, Skuad Ihsan Madani’. -MG Perak
Atikel Berkaitan: