PARIT – Orang ramai sanggup menunggu seawal jam 8.30 pagi bagi membeli dua papan telur ayam dan dua ekor ayam mentah pada harga RM15 sempena Jualan Sejahtera Rakyat di Dewan Ngah Sagor, di sini, pada Khamis.
Tidak ketinggalan mereka juga turut berebut membeli daging lembu segar yang ditawarkan dengan harga RM15 sekilogram.
Kedua-dua barangan berkenaan ditawarkan kepada 150 pengunjung terawal yang membeli barangan keperluan harian di Jualan Sejahtera Rakyat anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan (ADUN) Belanja.
Bagi suri rumah, Hasrimah Hasan, 51, tawaran istimewa sempena Jualan Sejahtera Rakyat berkenaan dianggap tidak masuk akal memandangkan harganya benar-benar murah.
Dia yang menetap di Kampung Sadang Tengah di sini, sanggup beratur panjang menunggu giliran membeli barangan harian berupa gula, minyak dan tepung.
“Syarat dia kena beli barang yang dijual di jualan ini kemudian baru boleh beli ayam dan telur pada harga RM15 serta satu kilogram daging RM15.
“Peluang seperti ini perlu direbut kerana sangat murah mana nak dapat dua papan telur ayam dan dua ekor ayam pada harga RM15 kalau beli dekat luar mahu lebih RM30,” katanya.
Tambahnya lagi, wang yang dibelanjakanya di Jualan Sejahtera Rakyat kali ini amat berbaloi dan dapat melakukan penjimatan yang banyak.
Seorang lagi penduduk, Zuraida Ismail, 31, turut tidak melepaskan peluang membeli dua papan telur ayam dan dua ekor ayam yang ditawarkan pada harga RM15.
“Saya juga beli minyak masak paket yang susah nak jumpa dan barang-barang lain seperti gula dan tepung yang murah.
“Secara keseluruhannya jimat dua kali ganda dan saya berharap program seumpama ini terus dilakukan,” katanya.
Sementara itu, ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah berkata, pihaknya membawa kelainan pada Jualan Sejahtera Rakyat kali ini bagi membantu orang ramai berjimat-cermat sempena hujung tahun.
Beliau berkata, program yang dianjurkan setiap bulan di DUN Belanja itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Perak kepada rakyat bagi mendapatkan barang keperluan harian dengan potongan harga yang rendah.
“Untuk akhir tahun 2024 ini Pusat Khidmat ADUN Belanja mengambil pendekatan memastikan Jualan Sejahtera Rakyat terus mendapat sambutan dan kita beri potongan harga pada barang-barang tertentu.
“Misalnya kali ini kita tawarkan kepada 150 pembeli terawal dua papan telur ayam dan dua ekor ayam serta sekilogram daging segar masing-masing berharga RM15.
“Harga barang-barang ini jika diluar lebih RM30 tetapi sempena jualan ini kita beri tawaran istimewa dan tanggung lebihan kos,” katanya.
Tambah beliau sambutan yang diterimanya amat menggalakan dan tawaran seumpama itu akan dilaksanakan pada tahun hadapan lebih-lebih lagi pada musim perayaam. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
22,000 penduduk Perak terima manfaat Jualan Sejahtera Rakyat