IPOH – Seorang juruteknik mengalami kerugian sebanyak RM444,967 selepas didakwa menjadi mangsa penipuan pekerjaan atas talian, dekat sini, pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Perak Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, Polis Daerah Ipoh telah menerima laporan daripada lelaki berusia 42 tahun yang memaklumkan telah menjadi mangsa penipuan atau scam.
Katanya, berdasarkan laporan, mangsa telah melayari laman sosial Facebook dan berminat dengan satu iklan pekerjaan dalam talian yang ditawarkan.
“Mangsa kemudian telah berurusan dengan seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp. Suspek berkenaan memberikan tugasan kepada mangsa untuk membuat bayaran pada harga barang yang diberikan terlebih dahulu.
“Bayaran itu bermula dengan jumlah kecil sehingga mencecah puluhan ribu, selain mangsa dijanjikan akan menerima semula wang bersama komisen antara empat sehingga 10 peratus daripada nilai bayaran dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Menurut Zulkafli, mangsa kemudiannya telah membuat beberapa pindahan wang secara atas talian kepada 10 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM444,967.
Jelas beliau, lelaki itu menyedari telah ditipu selepas bayaran komisen yang dijanjikan suspek masih belum diterima sehingga kini.
“Polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan pelbagai.
“Berdasarkan kepada analisa data dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, aplikasi yang sering digunakan oleh sindiket penipuan adalah Facebook dan WhatsApp.
“Polis juga menyeru orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang menarik atau memerlukan bayaran pendahuluan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warga emas kerugian RM2.2 juta angkara penipuan pelaburan saham