Lesap hampir RM1juta, warga emas diperdaya pelaburan saham tidak wujud

IPOH – Seorang warga emas terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM974,000 selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud pada Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, Polis Daerah Ipoh telah menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang lelaki berusia 67 tahun berhubung kejadian itu pada Sabtu.

Katanya, berdasarkan kepada laporan, mangsa telah tertarik dengan satu iklan pelaburan ketika melayari laman sosial Facebook pada 4 Disember lalu.

“Lelaki itu telah menekan pautan yang diberikan oleh seorang wanita tidak dikenali lalu (nombor telefon mangsa) dimasukan ke dalam kumpulan WhatsApp bernama ‘Nasional Malaysian Finance Management Association’.

“Mangsa telah dijanjikan memperoleh pulangan lumayan antaranya hingga 20 peratus dalam masa setengah jam sekiranya membuat pelaburan RM5,000. Selain itu, dia juga turut diminta untuk memuat turun aplikasi ‘PGLO.Pro,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Zulkafli berkata, akibat termakan dengan janji berkenaan, mangsa telah membuat pembayaran secara atas talian sebanyak 16 kali kepada tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM974,000.

Ujar beliau lagi, lelaki warga emas itu kemudian membuat semakan berhubung pelaburan berkenaan pada laman internet, namun dia mendapati ia tidak wujud.

“Orang ramai diminta supaya menyemak sebarang tawaran pelaburan yang meragukan. Jangan mudah terpedaya dengan skim-skim pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan yang tinggi.

“Apatah lagi apabila syarikat tersebut tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” tambahnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penipuan pekerjaan atas talian: Juruteknik rugi lebih RM444,000

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI