LENGGONG – Perbincangan dalam usaha menjadikan Lembah Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) berada di peringkat akhir.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu proses penilaian lapangan yang akan dibuat Jawatankuasa UGGp dalam tempoh terdekat.
Kata beliau, penilaian berkenaan akan melibatkan pakar termasuk Naib Presiden Global Geopark Network (GGN), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, dan Pakar Arkeologi Dunia Datuk Dr Mokhtar Saidin.
“Segala dosier atau dokumen-dokumen penting yang diperlukan telah kita angkat (serahkan kepada jawatankuasa berkenaan untuk penilaian seterusnya).
“Justeru, dalam hal ini kita optimis kerana Lenggong sememangnya berkeupayaan (untuk menerima pengiktirafan global berkenaan). Dan keputusan tentang perkara dijangka akan diperoleh menjelang tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bot Pondok Polis Kampung Beng dan Penyerahan Kunci Kuarters Balai Polis Lenggong di Balai Polis Lenggong, pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat; Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hassan serta Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, Lembah Lenggong sememangnya kaya dengan tapak warisan dan arkeologi bertaraf antarabangsa.
Justeru Shamsul berkata, kesemua ciri berkenaan dilihat mampu menjadi nilai tambah buat daerah ini untuk mendapat pengiktirafan sama selepas Kinabalu dan Langkawi.
“Untuk mengekalkan status di bawah UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu), ia juga perlu melalui penilaian berterusan dalam satu-satu tempoh.
“Dan saya amat yakin bahawa pentabir dan kerajaan negeri akan sedaya upaya memastikan status yang diperoleh di Lenggong ini dapat terus dikekalkan,” jelasnya.
Pada April tahun lalu, media melaporkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam komited untuk mengangkat Sarawak Delta Geopark di Sarawak dan Lenggong Geopark sebagai UGGp.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, pengiktirafan itu penting dalam usaha kerajaan melonjak lebih banyak Geopark Kebangsaan memperoleh status UGGp yang dilihat mampu memberi impak positif kepada negara.
Pada 30 Jun 2012, UNESCO mewartakan Lembah Lenggong sebagai salah satu daripada Tapak Warisan Dunia sekali gus mengangkat daerah di Negeri Perak itu sebagai warisan penting dalam bidang arkeologi dunia.
Dalam perkembangan lain Shamsul memberitahu, kerja-kerja menaik taraf kemajuan infrastruktur Kampung Angkat Madani KDN di Kampung Beng berada pada tahap 85 peratus.
Beliau berkata, kesemua projek yang dibangunkan di kampung berkenaan berjalan mengikut jadual, namun dua projek masih dalam pembinaan iaitu pintu gerbang dan pondok polis.
Pada Mei tahun lalu, KDN memilih Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani dengan memperuntukkan RM2.5 juta bagi pembangunan sektor pelancongan dan taraf hidup penduduk. – MG Perak
Artikel Berkaitan: