IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan menjalankan siasatan lanjut susulan kejadian pekerja warga asing maut akibat terjatuh dari sebuah bangunan yang sedang dibina di Bandar Meru Raya, di sini semalam.
Pejabat Pengarah JKKP Perak menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya juga akan mendapatkan dokumen berkaitan serta merakam percakapan bagi saksi yang dikenal pasti.
Menurutnya, pihaknya juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada jabatan.
“JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 terhadap majikan yang membawa hukuman maksimum RM500,000 jika sabit kesalahan,“ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, kenyataan itu turut memaklumkan sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP Perak telah diarahkan untuk membuat siasatan awal sebaik sahaja menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa adalah pekerja untuk kerja-kerja pemasangan bumbung dan sewaktu mangsa bekerja berseorangan manakala dua lagi rakan mangsa berada di bawah untuk persiapan barang kerja.
“Sewaktu mangsa menjalankan kerja pemeriksaan tempat untuk memasang lifeline di gutter frame mangsa dipercayai terjatuh dari gutter frame pada ketinggian antara tujuh hingga sembilan meter dari lantai.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut.
“Notis pemberhentian serta merta ke atas aktiviti kerja pemasangan bumbung telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan,“ jelasnya.
Semalam media melaporkan, seorang buruh warga Bangladesh maut selepas dipercayai terjatuh dari kerangka besi setinggi lapan meter di kawasan tapak pembinaan dekat Taman Meru Raya, Bandar Meru Raya di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dilaporkan berkata, mangsa berusia 44 tahun itu dipercayai terjatuh sewaktu melakukan kerja di tapak pembinaan tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Buruh Bangladesh maut jatuh dari kerangka besi
Buruh Bangladesh maut: Kerja pembinaan dihentikan serta merta