Penjara Taiping: MUDA desak tindakan segera susulan laporan SUHAKAM

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa Jabatan Penjara Malaysia; Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan segera terhadap individu yang terlibat dalam insiden keganasan di Penjara Taiping.

Dalam sagtu kenyataan bersama, Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah dan Naib Presiden MUDA, Dobby Chew turut menegaskan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu bertanggungjawab atas kegagalan dasar yang didakwa menyumbang kepada tragedi tersebut.

Gesaan itu dibuat susulan pengumuman Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 25 Mei lalu mengenai hasil siasatan inkuiri awam terhadap insiden di Penjara Taiping yang melibatkan kekerasan terhadap banduan sehingga mengakibatkan kematian seorang tahanan.

Menurut MUDA, laporan tersebut memberikan gambaran jelas mengenai masalah kesesakan penjara yang berlarutan serta keadaan fasiliti penjara yang disifatkan daif dan uzur.

Parti itu mendakwa isu berkenaan telah lama dibangkitkan oleh kumpulan masyarakat sivil, namun masih belum menyaksikan penambahbaikan yang signifikan.

“MUDA turut mempersoalkan keadaan sesetengah penjara yang masih bergantung kepada sistem baldi atau bucket system, yang bukan sahaja mengaibkan banduan malah menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam.

“Bantahan yang berlaku di Penjara Taiping berpunca daripada keadaan blok penjara yang didakwa tidak lagi sesuai untuk didiami,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, masalah kesesakan penjara telah dilaporkan sejak awal tahun 2000 dan pendekatan kerajaan selama ini lebih tertumpu kepada pembinaan penjara baharu serta peningkatan kapasiti penjara.

Kapasiti keseluruhan penjara, kata MUDA, telah meningkat daripada kira-kira 50,000 kepada 85,000 penghuni dalam tempoh dua dekad.

Bagaimanapun, MUDA berpendapat peningkatan kapasiti tersebut tidak menyelesaikan isu asas kerana masih melibatkan penggunaan fasiliti lama yang uzur dan penambahan jumlah penghuni dalam sel sedia ada.

Keadaan itu, menurut mereka, meningkatkan risiko penularan penyakit berjangkit dalam kalangan banduan serta anggota penjara.

“Beberapa dasar seperti Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan pelaksanaan Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 berpotensi membantu mengurangkan kesesakan penjara.

“Namun, usaha tersebut tidak akan memberi kesan menyeluruh sekiranya kadar tangkapan tidak berkurangan dan sistem perundangan masih mengutamakan hukuman penjara berbanding alternatif lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, MUDA menggesa Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat seperti yang dicadangkan oleh SUHAKAM bagi memelihara integriti dan reputasi institusi penjara.

Mereka menegaskan, proses tatatertib berkenaan tidak boleh diketepikan atas alasan pertindihan dengan prosiding jenayah.

MUDA juga menggesa PDRM dan Jabatan Peguam Negara mempercepatkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti terlibat dalam keganasan atau cubaan menyembunyikan insiden tersebut.

Pada masa sama, parti itu menegaskan Menteri Dalam Negeri perlu tampil memberikan penjelasan kepada rakyat dan keluarga mangsa berhubung tragedi berkenaan.

“Kelewatan dalam mengambil tindakan undang-undang dan tatatertib terhadap penjawat awam yang terlibat merupakan perkara yang memerlukan akauntabiliti politik.

“Ini soal kemanusiaan dan banduan juga tidak boleh dilayan seolah-olah mereka tidak mempunyai maruah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI