Pendaki hilang: 8 anggota tambahan sertai operasi SAR Gunung Batu Putih

CYBERJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pendaki wanita Jaslinda Saludin yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak sejak 23 Mei lepas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata operasi itu masih diteruskan dengan penglibatan kira-kira 50 anggota daripada pelbagai agensi di lokasi kejadian.

Beliau berkata lapan lagi anggota dihantar ke puncak gunung pagi tadi bagi membolehkan proses penggiliran pasukan penyelamat dilaksanakan.

“Kita masih meneruskan operasi sejak 24 Mei lepas. Hari ini kita hantar lagi lapan anggota ke puncak bagi membolehkan penggiliran dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Program Qurban Kasih JBPM 2026, di sini hari ini.

Nor Hisham berkata berdasarkan pengalaman operasi terdahulu dan keadaan persekitaran gunung yang berbeza berbanding kawasan laut, pihaknya ketika ini tidak bercadang menghentikan operasi pencarian.

“Berdasarkan pengalaman kita dan keadaan persekitaran yang berbeza, gunung tidak sama seperti laut. Buat masa ini kita tidak mengambil keputusan untuk menghentikan operasi. Pencarian masih diteruskan, insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, Jaslinda, 49 dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Semoga Jaslinda ditemui segera #malaysiagazette

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 24 Mei pada 7.30 pagi.

Program Qurban Kasih anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu disempurnakan Timbalan Menteri Datuk Aiman Athirah Sabu.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata program itu berjaya dilaksanakan dengan kerjasama JBPM serta Parlimen Sepang dan menyasarkan pengagihan daging korban kepada kira-kira 2,500 penerima di sekitar Sepang dan warga kementerian.

Beliau berkata program yang diadakan pada hari terakhir Tasyrik, 13 Zulhijjah itu melibatkan penyembelihan 50 ekor lembu dan tiga ekor kambing.

“Pada hari ini kita mengorbankan 50 ekor lembu dan tiga ekor kambing, dengan penyertaan kira-kira 500 petugas yang terdiri daripada warga JBPM, orang kampung serta ketua kampung bersama ahli majlis,” katanya.

Aiman Athirah berkata kira-kira 38 kampung tradisi di kawasan Sepang turut terlibat dalam menjayakan program berkenaan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI