Penangan resipi turun-temurun Rendang Tok Yoep

KUALA KANGSAR – Rendang Tok merupakan makanan tradisional Melayu yang cukup terkenal dan ikonik bagi Negeri Perak.

Menurut cerita masyarakat tempatan, nama Rendang Tok dipercayai wujud sebagai memperingati jasa orang tua yang dipanggil ‘Tok’ pada pangkal nama, kerana jasa mengajarkan anak cucu mereka resepi masakan berkenaan.

Selain itu, ia juga dipercayai pada asalnya hanya merupakan hidangan bagi kerabat diraja dan orang kenamaan, namun akhirnya kini Rendang Tok dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.

Rumah Makan Rendang Tok Yoep juadah hidangan makanan tradisional daging Nora Aishah tradisi
Pengusaha Rendang Tok Yoep, Nora Aishah Ibrahim, 64, menunjukkan bungkusan Rendang Tok Yoep di Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JANUARI 2025.

Nora Aishah Ibrahim, 64, yang mewarisi resepi penyediaan Rendang Tok turun-temurun daripada orang tuanya telah mula mengasaskan perniagaan juadah itu sejak 15 tahun lalu.

Anak kelahiran Kampung Talang, dekat sini, memberitahu, perniagaan Rendang Tok Yoep Kuala Kangsar itu diusahakan bersama suami, Ahmad Rosly Abdul Aziz, 64, anak serta menantu.

Rumah Makan Rendang Tok Yoep juadah hidangan makanan tradisional daging Nora Aishah tradisi
Pekerja menyiapkan set talam Rendang Tok Yoep di Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JANUARI 2025.

Katanya, bermula dengan menjual Rendang Tok secara berbungkus, kemudian beralih ke kaedah pensterilan atau retort, kini Nora Aishah tidak menang tangan mengusahakan Rumah Makan Rendang Tok Yoep sejak dibuka dua tahun lalu.

“Kami memulakan perniagaan Rumah Makan Rendang Tok Yoep di rumah agam Melayu lama ini selepas mendapat banyak permintaan pelanggan yang mahukan suatu tempat yang boleh menjamah juadah tradisional itu.

Rumah Makan Rendang Tok Yoep juadah hidangan makanan tradisional daging Nora Aishah tradisi
Rumah Makan Rendang Tok Yoep di Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JANUARI 2025.
Pelanggan menikmati hidangan makanan di Rumah Makan Rendang Tok Yoep, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JANUARI 2025.

“Di sini kami menyediakan menu pagi iaitu nasi lemak Rendang Tok, lempeng pisang, lempeng kelapa, roti arab dan nasi goreng.

“Sementara juadah utama Rumah Makan Rendang Tok Yoep menyajikan set ketupat, set lemang, set talam, dan set talam meriah raya, dengan setiap satu hidangan atau set diberi pilihan sama ada mahu Rendang Tok daging, ayam, atau kambing.

Rumah Makan Rendang Tok Yoep juadah hidangan makanan tradisional daging Nora Aishah tradisi
Set talam Rendang Tok Yoep di Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JANUARI 2025.

“Bagi set talam meriah raya, istimewanya kami menyediakan ketiga-tiga jenis rendang tok, ketupat, lemang, jelatah serta Rendang Tok Lamb Shank,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Rumah Makan Rendang Tok Yoep, dekat sini.

Nora Aishah yang mesra disapa Kak Cik berkata, selain mengolah resipi tradisional itu dengan cara tersendiri, Rendang Tok yang dihasilkan juga dimasak masih mengekalkan kaedah dengan menggunakan kayu api.

Rumah Makan Rendang Tok Yoep juadah hidangan makanan tradisional daging Nora Aishah tradisi
Ketupat dan lemang antara hidangan di Rumah Makan Rendang Tok Yoep, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JANUARI 2025.

Jelasnya lagi, lazimnya dianggarkan 240 ke 400 kilogram (kg) daging Rendang Tok dimasak dengan setiap satu mengambil masa kira-kira empat jam bagi memenuhi permintaan harian pelanggan.

Dia yang sebelum ini pernah mendapat perhatian warganet dek kerana wajahnya seakan-akan wajah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkata, penangan media sosial memainkan peranan penting dalam mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan.

Rumah Makan Rendang Tok Yoep juadah hidangan makanan tradisional daging Nora Aishah tradisi
Temubual Pengusaha Rendang Tok Yoep, Nora Aishah Ibrahim, 64, di Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JANUARI 2025.

“Kami sering menerima pelanggan dari luar Perak antaranya dari Kuala Lumpur, Kedah dan sebagainya yang datang ke sini semata-mata hendak merasai juadah Rendang Tok.

“Selepas memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), produk Rendang Tok Yoep berjaya menembusi pasaran sehingga ke Brunei dan Singapura.

Bungkusan Rendang Tok Yoep di Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JANUARI 2025.

“Selain itu, kami juga ada menghasilkan sembilan jenis pau termasuk yang berasaskan kepada inti daging Rendang Tok sebagai produk sampingan,” katanya yang juga mendapat bimbingan daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

Sepanjang tempoh menceburi perusahaan itu, Nora Aishah memberitahu, menerima kehadiran tetamu diraja ke Rumah Makan Rendang Tok Yoep pada Februari tahun lalu antara memori yang akan sentiasa dikenang.

Dia berkata, sememangnya tidak menyangka kedai makan juadah tradisional Perak itu menerima keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara tidak dirancang.

Pengusaha Rendang Tok Yoep, Nora Aishah Ibrahim, 64, bergambar bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah). Foto TikTok Rendang Tok Yoep

“Pada awal saya seolah-olah tidak percaya apabila dimaklumkan oleh pegawai istana bahawa Tengku Mahkota Pahang akan berangkat ke Rumah Makan Rendang Tok Yoep.

“Walaupun persiapan secara sederhana, baginda tetap sudi berangkat ke kedai kami. Saya juga sempat bertanyakan pendapat Tengku Hassanal tentang juadah Rendang Tok kami.

“Apabila Tengku Hassanal memaklumkan yang baginda amat menggemarinya, perasaan seronok itu tidak dapat digambarkan bagaimana,” katanya lagi.

Set talam Rendang Tok Yoep di Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JANUARI 2025.

Tambah Nora Aishah, Rumah Makan Rendang Tok Yoep juga bertuah apabila menerima kehadiran maestro negara, Datuk M Nasir dan isteri Datin Marlia Musa baru-baru ini, di samping menerima maklum balas yang positif tentang hidangannya.

Dalam pada itu, dia berkata mereka sekeluarga sedang merancang untuk memperkenalkan beberapa menu baharu di situ termasuk Rendang Tok yang berasaskan kepada daging itik, pada masa akan datang. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Warisan tradisional berdiri utuh biar pun menjangkau 100 tahun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI