SUNGAI SIPUT – Seorang pendaki yang sesat ketika aktiviti mendaki di Gunung Yong Yap, di sini, petang semalam ditemui dalam keadaan selamat kira-kira jam 10 pagi ini.
Mangsa, Ilhami Mohd Idris, 22, dijumpai oleh orang awam di kebun getah Pos Kuala Mu di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada bomba pada jam 10.26 pagi.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.42 malam tadi.
Menurutnya, seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput bergegas ke lokasi kejadian.
“Kami menerima maklumat dari Balai Polis Sungai Siput berhubung kehilangan seorang lelaki yang menyertai pendakian Gunung Yong Yap melalui jalan Pos Kuala Mu.
“Terdahulu, ketua pendaki memaklumkan mangsa didapati hilang sewaktu membuat pemeriksaan selepas menuruni bukit di Kem Site Sungai Chinak pada jam 6 petang.
“Selepas itu, pasukan pendaki bersama malim gunung telah membuat pencarian hingga ke puncak gunung namun mangsa gagal ditemui.
“Kemudian ketua pendaki bersama 15 peserta telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Siput berhubung kehilangan mangsa sekitar jam 10.03 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau memaklumkan pencarian mangsa bermula sekitar jam 7.30 pagi tadi bersama agensi terlibat.
“Bagaimanapun, mangsa telah ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam pada jam 10 pagi tadi,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: