IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Gamuda Bhd (Gamuda) menandatangani perjanjian eksklusif sebagai usaha bagi menangani krisis kekurangan air yang kritikal di kawasan utara Negeri Perak.
Menerusi satu kenyataan memaklumkan, kerjasama itu juga melibatkan pembangunan infrastruktur pemindahan air mentah dari Sungai Perak ke Bukit Merah sebagai keperluan pengagihan air terawat di daerah tersebut.
Katanya, PKNPk bertindak sebagai agensi utama negeri yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan ekonomi serta pertumbuhan sosioekonomi bagi Perak.
“Melalui usaha memanfaatkan kepakaran tempatan serta keupayaan kejuruteraan khusus, PKNPk dan Gamuda bersedia untuk menyampaikan manfaat sosioekonomi yang signifikan melalui kerjasama strategik ini.
“PKNPk dan Gamuda akan bekerjasama dalam menguruskan semua komponen pembangunan ini dengan menggabungkan kepakaran masing-masing.
“Ia termasuk dalam reka bentuk, kejuruteraan awam dan struktur, utiliti, mitigasi risiko serta pelaksanaan program latihan tenaga kerja dan teknologi tempatan,” kata kenyataan itu, pada Rabu.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Pengarah Eksekutif Gamuda Engineering, Faris Mohd Yusof berkata, Gamuda berbesar hati menjalinkan kerjasama eksklusif itu bersama PKNPk sebagai usaha kepada penyelesaian infrastruktur air yang mampan di Utara Perak.
Kata beliau, pihaknya yang berpengalaman luas dalam pembangunan infrastruktur berkaitan air akan terus menyokong kepada pembangunan tenaga kerja dan komuniti tempatan.
“Kami membawa pengalaman luas dalam infrastruktur berkaitan air kepada kerjasama ini, setelah berjaya melaksanakan projek seperti Skim Bekalan Air Fasa 3 Sungai Selangor dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).
“Kepakaran kami dalam pembinaan loji rawatan air, sistem retikulasi, dan terowong air merupakan nilai tambah utama yang kami ingin sumbangkan kepada inisiatif ini.
“Kami sentiasa mengutamakan pembangunan bakat tempatan dan rantaian bekalan yang dapat dilihat melalui pasukan serta penggunaan teknologi digital inovatif kami,” ujarnya.
Pada sama sama, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pihaknya komited dalam usaha menangani isu bekalan air kritikal di Perak di samping memastikan keterjaminan air penduduk di negeri ini terjamin menjelang tahun 2029.
Jelas beliau, dengan populasi penduduk yang semakin meningkat dan ekonomi yang berkembang, projek itu amat penting bagi memenuhi permintaan air bersih daripada domestik serta industri.
“Apabila siap kelak, projek ini juga akan menyokong pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) serta meningkatkan sistem pengairan pertanian di daerah ini.
“Inisiatif ini merupakan langkah penting ke arah pembangunan lestari dan sejajar dengan Flagship ke-12 dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu Sumber Air dan Tenaga Boleh Diperbaharui.
“Usaha ini menegaskan komitmen kami dalam menyatupadukan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui serta pengurusan sumber air yang lestari dalam perancangan pembangunan kami,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: