GERIK – Usul meningkatkan had umur keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun boleh mengurangkan minat generasi muda menyertai parti tersebut, kata Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor itu berpandangan, sebaiknya had usia 35 tahun perlu dikekalkan bagi memastikan ia selari dengan gelaran Puteri.
Salbiah berkata, Ketua-Ketua Wanita UMNO Bahagian seluruh Perak juga telah memberi pandangan masing-masing untuk mengekalkan had usia Puteri UMNO kepada 35 tahun.
“Dia bukanlah soal isu pelanjutan umur tetapi sebenarnya pandangan kami bekas ahli-ahli dan juga pimpinan Puteri UMNO terdahulu ingin menekankan kepada adik-adik umur bukanlah satu penghalang untuk mereka bergerak dengan lebih baik.
“Tetapi kami berpandangan dengan had umur Puteri ini sekiranya dilanjutkan ia sudah tidak ‘in line’ dengan pandangan generasi muda sekarang.
“Jadi pandangan Wanita UMNO Perak ialah kita tidak bersetuju untuk dilanjutkan had usia Puteri UMNO kepada 40 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Taklimat Penubuhan Koperasi Sejati Madani, Impian Jadi Realiti di Dewan Persidangan Majlis Daerah Gerik, di sini, pada Khamis.
Ditanya mengenai pandangan bahawa had usia Puteri UMNO dilanjutkan sehingga 40 tahun adalah bagi memberi ruang mereka berkhidmat Salbiah berkata, ia tidak seharusnya dijadikan isu sebaliknya mereka masih boleh berbakti apabila menyertai Wanita UMNO.
“Saya telah membuktikan bahawa saya daripada Puteri kini berada dalam pimpinan Wanita sekarang. Jadi tiada isu sebenarnya apabila habis puteri mereka terputus.
“Kalau kita bercakap soal konteks itu maknanya kita hendak kuasa itu berterusan kepada pimpinan yang ada sekarang. Apa yang penting adalah saya hendak tekankan bagaimana mahu menarik generasi muda bersama UMNO,” katanya.
Malaysia Gazette sebelum ini melaporkan UMNO bercadang untuk meningkatkan umur keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua Bahagian telah diminta untuk mengadakan perbincangan dan memberi pandangan melalui UMNO negeri masing-masing. -MG Perak
Artikel Berkaitan: