IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi amaran dan teguran lisan kepada pengusaha restoran di sekitar kawasan Botani dan Bandar Siber di sini, hari ini yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan MBI hari ini, tindakan itu dilaksanakan sewaktu Operasi Pemeriksaan Premis Makanan yang dijalankan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Persekitaran (UKKM MBI).
Menurutnya, sebanyak lima restoran diperiksa dan diberikan penggredan bagi memastikan pengusaha mematuhi peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBI) 2017, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Objektif utama operasi ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan persekitaran premis makanan terutamanya restoran bagi memastikan keselamatan makanan yang dihidangkan kepada pelanggan terjamin.
“Selain itu, kebersihan diri pengendali makanan juga dipantau dalam operasi ini termasuklah pemeriksaan rekod suntikan anti-tifoid dan Sijil Latihan Pengendali Makanan (SLPM).
“Modus operandi operasi ini tertumpu kepada aspek 3E, iaitu Engagement (keterlibatan), Education (pendidikan) dan Enforcement (penguatkuasaan) terhadap pematuhan syarat-syarat pelesenan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBI) 2017,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kenyataan itu berkata, pemeriksaan kebersihan dan penarafan bintang tandas di setiap restoran dan kesemua premis yang terlibat diberi penarafan empat bintang dan ke atas.
“Dua daripada premis diperiksa telah mematuhi syarat-syarat perlesenan yang ditetapkan manakala tiga lagi premis gagal mematuhi surat amaran yang telah dikeluarkan pada pemeriksaan sebelumnya.
“Terdapat beberapa kesalahan yang dikenal pasti seperti kegagalan pengusaha restoran memasang dan menyelenggara perangkap minyak bagi mengelakkan pencemaran sistem perparitan, suntikan anti-tifoid tamat tempoh dan pengendali makanan tidak mempunyai SLPM.
“Terdapat juga pengusaha premis restoran gagal menjalankan aktiviti kawalan serangga perosak dengan berkesan.
“Susulan itu, amaran dan teguran lisan telah diberikan kepada pengusaha-pengusaha restoran yang diperiksa supaya sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Justeru, MBI menyeru supaya masyarakat, khususnya pengusaha restoran sentiasa mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan premis perniagaan milik mereka.
“Keprihatinan ini amat penting dalam menjamin kebersihan dan keselamatan makanan yang disajikan, selaras dengan keperluan standard pematuhan yang ditetapkan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak beri ‘lampu hijau‘ MBI kaji syor meluaskan larangan jual arak