Ada PATI salah guna kad UNHCR, sewa gerai rakyat tempatan – JIM

KUALA LUMPUR – Seramai 630 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Selangor (JIM) di Pasar Meru, Klang awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (JIM) Selangor, Jafri Embok Taha berkata dari jumlah tersebut, 628 terdiri daripada lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 57 tahun.

Majoriti yang ditahan kebanyakannya adalah Warga Myanmar iaitu seramai 530 orang, diikuti Bangladesh (85), Indonesia (9), India (5) dan seorang warga Nepal.

“Kami juga dapati ramai di antara mereka yang telah tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen yang sah,” katanya dalam sidang media selepas tamat operasi kira-kira pukul 7.30 pagi hari ini.

Antara kesalahan lain yang dikenal pasti ialah melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen.

Kesemua tahanan telah dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih bagi siasatan lanjut.

Bagaimanapun, pihaknya turut mengesan kegiatan menyewakan gerai yang dilakukan oleh rakyat tempatan kepada PATI dengan kadar sewa lebih tinggi.

“Ini membuktikan wujudnya aktiviti ‘Ali Baba’ di mana ada sindiket yang mengeksploitasi situasi itu untuk kepentingan diri sendiri.

“Selain itu kami juga menjumpai PATI yang menyalahgunakan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Ramai warga Indonesia memiliki kad UNHCR selepas berkahwin dengan pemegang status pelarian lalu mereka ambil keputusan menukar status dan memohon dokumen yang sama bagi anak-anak mereka,” tambahnya.

Operasi bersepadu itu bermula pukul 5.30 pagi itu melibatkan 153 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JIM, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam pada itu, JIM akan terus komited untuk melaksanakan operasi secara berkala bagi memastikan dan menangani isu atau masalah sosial berkaitan PATI dapat dibanteras.

Masyarakat juga diseru untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkenaan keberadaan PATI yang melanggar undang-undang bagi menjamin keselamatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI