Kempen ‘boikot’: Usahawan tempatan disaran ambil peluang

BATU GAJAH – Usahawan tempatan disaran memperkasakan produk keluaran mereka disebalik kempen boikot barangan jenama luar yang berpotensi menyalurkan dana kepada Israel ketika ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sebarang isu yang berlaku di dunia termasuk berhubung konflik antara Palestin dan Israel akan memberi kesan termasuk sektor perniagaan tempatan.

Beliau berkata, bagaimanapun usaha pengguna dalam mengutamakan produk tempatan seharusnya sudah dimulakan lebih awal sebelum ini tanpa menunggu sebarang isu tercetus.

“Sebenarnya kempen membeli barangan tempatan ini sepatutnya kita sudah mulakan dan kita harus memberi tumpuan kepada produk-produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan.

“Disebabkan itu para usahawan harus mengambil peluang ini untuk memperbaiki produk masing-masing dan jika berhadapan masalah, mereka boleh berjumpa dengan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan khidmat nasihat, bimbingan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan dua kilang pembuatan makanan tempatan, Idda’s Industry dan Mama Keen Empire di Kawasan Perindustrian Siputeh, di sini, pada Isnin.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Salbiah berkata, kerajaan negeri menyasarkan usahawan mikro untuk meningkatkan perusahaan mereka kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ujar beliau, ini kerana dianggarkan lebih 80 peratus daripada keseluruhan usahawan yang berdaftar di negeri ini dikenal pasti sebagai usahawan mikro.

“Kita mahu sekurang-kurangnya 10 usahawan mikro dapat kita bawa mereka ke pasaran luar dalam satu-satu masa.

“Selain itu, apa yang lebih penting ketika ini adalah usaha kita bersama agensi untuk bawa keluar 80 peratus itu menjadi usahawan PKS,” katanya lagi -MG Perak.

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Sultan Nazrin Zahir Rasa Pilu, Dukacita Penderitaan Rakyat Palestin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI