KSM tidak terima aduan diberhenti kerja susulan kempen boikot

IPOH – Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden pemberhentian pekerja susulan kempen memboikot syarikat dan produk yang berpotensi menyumbang kepada Israel.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, tiada aduan rasmi yang direkodkan kementerian atau agensinya daripada mana-mana pihak berhubung perkara berkenaan sehingga hari ini.

“Setakat ini KSM tidak menerima apa-apa laporan berkaitan dengan pembuangan kerja dan sebagainya (susulan kempen boikot berkenaan),” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Deepavali Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Hotel Impiana dekat sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Pengarah Perkeso Perak, V. Mohanadas.

Sivakumar berkata, bagaimanapun pihaknya bersedia untuk melihat perkara berkenaan secara lebih serius sekiranya terdapat sebarang aduan berkenaan pemberhentian pekerja susulan isu tersebut.

“Sehingga kini memang pihak kami tidak menerima sebarang aduan, namun jika ada aduan yang dibuat kita akan tengok (teliti lebih lanjut). Jika masih tiada aduan, saya tidak boleh komen,” ujarnya.

Akhir-akhir ini wujud dakwaan ramai pekerja di negara ini terjejas susulan ‘kempen’ memboikot syarikat dan produk khususnya daripada jenama luar yang berpotensi menyumbang kepada Israel susulan konflik negara haram itu dengan Palestin.

Sebuah media tempatan melaporkan terdapat pekerja sambilan yang dikatakan terpaksa diberhentikan susulan syarikat atau perniagaan tidak lagi menerima kunjungan atau pelanggan yang ramai -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kempen ‘boikot’: Usahawan tempatan disaran ambil peluang

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI