Perkeso belanja lebih RM300 juta untuk rawatan dialisis pencarum

IPOH – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), membelanjakan lebih RM300 juta setahun dalam menyumbangkan mesin hemodialisis bagi membantu meringankan beban pencarum mendapatkan rawatan dialisis atau penyakit buah pinggang.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, bagi tahun ini sejumlah RM350 juta melibatkan 70 buah mesin hemodialisis telah disumbangkan Perkeso kepada 39 pusat rawatan hemodialisis di seluruh negara.

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia juga dalam perancangan untuk membuka lebih banyak pusat rawatan dialisis di bawah Perkeso selepas di Klang dan Shah Alam di Selangor serta Batu Pahat dan Kluang di Johor.

Ujar beliau, perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang dijalankan bagi membolehkan ia direalisasikan termasuk pembukaan pusat rawatan di Perak.

“Kita memang merancang untuk membuka pusat rawatan dialisis di Perak, malah saya sudah berbincang perkara ini dengan pihak Perkeso sebelum ini.

“Sebentar tadi, saya juga dimaklumkan bahawa kerja-kerja awal bagi mewujudkan lebih banyak pusat rawatan dialisis itu sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Deepavali anjuran Perkeso di Hotel Impiana, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Pengarah Perkeso Perak, V.Mohanadas.

Pada majlis berkenaan, KSM melalui Perkeso turut menyumbangkan tiga unit mesin hemodialisis masing-masing dua kepada Yayasan Dialisis Pendidikan Akhlak Perak, dan satu unit kepada Persatuan Meningkat Akhlak Woh Peng Cheang Seah.

Sivakumar berkata, pihaknya berharap inisiatif tersebut dapat meringankan beban pencarum sekitar Ipoh untuk mendapat rawatan penyakit buah pinggang yang dihidapi mereka.

Dalam perkembangan sama, Sivakumar berkata, projek pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso di Meru Raya dijangka siap pada penghujung tahun hadapan.

“Projek pusat rehabilitasi itu berjalan dengan baik dan dijangka dapat beroperasi pada awal tahun 2025,” katanya lagi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

KSM tidak terima aduan diberhenti kerja susulan kempen boikot

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI