PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan untuk menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) yang bermula hujung minggu ini, ketika terdapat desakan untuk beliau tidak menyertainya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan untuk menyertai persidangan itu adalah bagi menjaga kepentingan negara dari pelbagai sudut hubungan diplomatik, keselamatan dan ekonomi, serta menegaskan bahawa beliau tidak berganjak dalam mempertahankan keadilan dan perjuangan rakyat Palestin.
Menyedari keputusan itu pasti tidak menyenangkan semua pihak, namun Anwar berharap beliau tidak dihukum sebagai pro Israel kerana hadir ke persidangan berkenaan, yang difahamkan setakat ini akan dihadiri semua negara Asia atas jemputan Presiden AS Joe Biden.
“Bagi saya keutamaan (adalah) jaga hubungan diplomatik dan keamanan, walaupun (pada masa yang sama) tidak berganjak dalam pertahan keadilan dan sokong perjuangan hak rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
“Saya sebagai perdana menteri nak jaga kepentingan negara ini, nak jaga keselamatan, ekonomi dan kesenangannya,” katanya yang mengakui wujud desakan agar beliau tidak menyertai APEC 2023 itu.
— BERNAMA