IPOH – Hampir 17 kilogram (kg) lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual di Bazar Ramadan Politeknik Ungku Omar (PUO), dekat sini, berjaya dikumpul pada hari pertama penganjuran My Save Food, 4 Mac lalu.
Dalam satu kenyataan PUO memaklumkan, angka itu kemudian menurun kepada 5.63 kg lebihan makanan dan minuman yang berjaya dikumpulkan di lokasi sama pada hari berikutnya.
Menurutnya, program My Save Food @ Bazar Ramadan PUO yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap amalan pengurusan makanan yang lebih berhemah dalam kalangan peniaga dan warga PUO.
Katanya lagi, melalui program yang dianjurkan bersama Pemuda Gema dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) PUO itu, makanan yang dikumpul kemudiannya disumbangkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan sebagai juadah berbuka secara percuma.
“Perkembangan ini menunjukkan kejayaan meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga dan pelajar berkenaan kepentingan dalam menguruskan makanan dengan lebih berhemah.
“Lebihan makanan dan minuman yang tidak habis dijual di bazar dikumpulkan dalam dua sesi iaitu pada jam 7.15 malam dan 7.35 malam, sebelum diagihkan kepada pelajar asnaf,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Sementara itu, Yang Dipertua JPP PUO, Muhammad Bazli Ilmam Mohamad Niza berkata program itu bukan sahaja membantu pelajar yang memerlukan, malah memberi kesedaran kepada peniaga mengenai kepentingan pengurusan makanan dan kebersihan bazar.
“Program ini bukan sekadar mengurangkan pembaziran, tetapi juga membentuk sikap lebih prihatin dalam kalangan peniaga dan masyarakat sekitar.
“Diharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan matlamat mengurangkan pembaziran makanan dan membantu golongan yang memerlukan terus dicapai,” ujarnya dalam kenyataan sama.
Sebagai tanda penghargaan, pihak JPP PUO turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Pemuda Gema atas kerjasama dalam menjayakan program My Save Food @ Bazar Ramadan PUO. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PUO perkukuh kolaborasi teknologi AI, teroka latihan, penyelidikan di China