IPOH – Jalan di Pekan Tapah diubah pada laluan sehala demi mengurai kesesakan aliran trafik terutama pada waktu puncak kata Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Zamri Mat Kasim.
Beliau berkata, pelaksanaan itu juga secara tidak langsung mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Tapah terutamanya pada cuti hujung minggu, cuti persekolahan dan musim perayaan.
Menurutnya, bagi memastikan aliran trafik lancar, sistem lampu isyarat ditutup di simpang empat di jalan berkenaan dan pengguna jalan raya perlu membuat satu pusingan U tanpa henti.
“Pelaksanaan penyuraian trafik di Pekan Tapah dilakukan selepas mendapati kesesakan lalu lintas berlaku sejauh dua hingga tiga kilometer serta mengambil masa antara dua ke tiga jam untuk pengguna melalui jalan tersebut khususnya sewaktu musim perayaan.
“Sebagai contoh, Jalan Tambun di Ipoh dulu mempunyai banyak lampu isyarat tetapi selepas sistem jalan sehala dilaksanakan ia membantu melancarkan pergerakan kenderaan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Kita juga telah melihat sistem ini berjaya mengurangkan kesesakan trafik ketika perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina, seterusnnya kita akan melihat keberkesanan sistem berkenaan pada Aidilfitri ini.
“Pengguna mungkin perlu memandu sedikit jauh berbanding sebelum ini untuk sampai ke destinasi namun dari sudut positif kesesakan lalu lintas dilihat semakin baik dan lancar,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette Perak (MG Perak).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, beberapa siri rundingan melibatkan JKR, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Batang Padang, Majlis Daerah Tapah (MDT), polis serta pihak yang terlibat telah mengadakan beberapa siri rundingan sebelum penyuraian trafik dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Selepas beberapa kali perbincangan dan pembentangan dijalankan bermula daripada September 2023 akhirnya semua bersepakat serta bersetuju untuk melaksanakan perkara itu pada 23 Ogos tahun lalu.
“Sistem penyuraian trafik ini tidak akan diubah namun kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa menerusi pembinaan laluan lebih teratur bagi memastikan kelancaran trafik dan keselesaan pengguna kenderaan yang melalui jalan tersebut,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Laluan sehala Tapah: Perak cari pendekatan menang-menang dengan penjaja terjejas