TAPAH – Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Mohd Sany Hamzan meminta pengundi yang tinggal di luar kawasan itu pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April ini.
Beliau menyeru masyarakat di kawasan tersebut pulang dan memilih calon daripada Barisan Nasional (BN) serta memberi sokongan kepada wakil Kerajaan Perpaduan.
“Besarlah harapan kita (pengundi pulang mengundi) walaupun kita tahu warga dan masyarakat (DUN Ayer Kuning) telah pulang ke kampung untuk sambutan Hari Raya.
“Kita harap jasa baik pengundi yang tinggal di dalam Perak di luar kawasan Ayer Kuning atau tinggal berjauhan supaya mengundi calon mewakili BN,” katanya katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, jentera Amanah akan berkampung dan melaksanakan gerak kerja melibatkan jentera dari dalam dan luar Perak bagi meraih sokongan pengundi Ayer Kuning.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning, 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kemenangan PRK Ayer Kuning penting tentukan kejayaan Kerajaan Perpaduan