IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengambil tindakan terhadap seorang bekas wakil rakyat susulan menyampaikan ucapan dalam masjid di Kuala Kangsar pada Mac lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan itu, turut dikenakan tindakan adalah pengerusi dan setiausaha masjid berkenaan atas isu sama.
Katanya, tindakan itu diambil sebagai menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tidak membenarkan ahli politik untuk berucap di masjid dan surau di negeri ini.
“Semua orang termasuk Menteri Besar, kita terikat dengan titah Tuanku Sultan Perak supaya masjid dan surau tidak digunakan oleh mana-mana ahli politik (untuk berucap).
“Jadi kepada mantan ADUN berkenaan, saya pun telah maklumkan kepada dia bahawa kita terikat dan kita tidak boleh melakukannya (berucap dalam masjid).
“Tidak ada pilih kasih dalam hal ini, saya sebagai Menteri Besar yang juga memegang portfolio Exco Agama Islam tidak menyampaikan ucapan dalam surau atau masjid sebagai menjunjung titah Tuanku Sultan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sallehuddin Abdullah (PN-Selinsing) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Sallehuddin sebelum itu meminta penjelasan daripada kerajaan negeri berkenaan isu seorang bekas ADUN kerajaan yang didakwa menyampaikan ucapan dalam sebuah masjid di Kuala Kangsar.
Difahamkan insiden itu merujuk kepada hantaran tular di media sosial yang mendakwa Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Maslin Sham Razman berucap dalam sebuah program di masjid di daerah berkenaan Mac lalu.
Maslin yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar merupakan bekas ADUN Bukit Chandan sebelum ini.
Pada masa sama Sallehuddin turut meminta penjelasan daripada Saarani (BN-Kota Tampan) berhubung tindakan empat imam digantung tugas susulan aduan tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan JAIPk sebelum ini.
Saarani berkata, mana-mana imam yang dengan sengaja melanggar peruntukkan undang-undang badan berkuasa agama negeri, akan berdepan tindakan.
“Seperti yang telah dilaporkan di media yang Juga telah dimaklumkan kita terikat dengan semua peraturan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) atas nasihat Jabatan Mufti Perak,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, ketika menjawab soalan lisan Saarani berkata, Perak telah mewujudkan Garis Panduan Masjid Sebagai Pusat Kegiatan Komuniti Negeri Perak pada tahun 2020 bagi memperkasakan peranan masjid sebagai hab pembangunan Ummah.
Kata beliau,di bawah garis panduan berkenaan, masjid perlu memenuhi fungsi pusat kegiatan utama yang telah ditetapkan.
“Fungsi utama yang ditetapkan ialah sebagai Pusat Ibadah dan Dakwah, Pusat Sosial, Pusat Ekonomi, Pusat Teknologi dan Informasi serta Pusat Generasi Muda dan Pembinaan Insan.
“Terdapat tiga kluster program yang telah dan sedang dijalankan menerusi JAIPk iaitu Pendidikan, Ekonomi dan Kebajikan Masyarakat Setempat,” tambahnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
1,000 jemaah tunai solat tarawih di Masjid Sultan Idris Shah II