Bekas ADUN UMNO sertai Pas sudah dijangka – Saarani

TAPAH – Tindakan mantan Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang diumum menyertai Pas sudah dijangka UMNO, kata Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata keputusan dibuat bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya perkara tersebut telah lama dijangka.

“Pertama sekali, saya ingin nyatakan bahawa kami sudah menjangkakannya sejak lama. Tarikh semalam juga adalah seperti yang kami telah jangka.

“Jadi perkara itu tidak memberi sebarang kesan. Dia (Wan Norashikin) hanya akan menyebabkan kekurangan satu undi di Parlimen Pasir Salak dan (Dewan Undangan Negeri) Kampong Gajah. Tidak ada apa-apa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Sejati Madani: Impian Jadi Realiti Daerah Batang Padang yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Kenangan, Bidor, pada Sabtu.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamad serta Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Dalam pada itu, Saarani memaklumkan bahawa Norashikin pernah beberapa kali menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp.

Tambahnya, kali terakhir adalah pada bulan Ramadan yang lalu sewaktu menghadiri program berbuka puasa dan solat tarawih di Masjid Abu Hurairah di Bidor yang turut dihadiri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

“Masa tu saya buka puasa dan solat di masjid. Esoknya dia mesej saya, beritahu yang suami dia sembahyang sebelah Datuk Seri Nazri Aziz.

“Maknanya, dia pun ada di situ dan itu sajalah komunikasi terakhir kami,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu menjelaskan bahawa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah tersebut tidak pernah bertemu dengan mana-mana pemimpin BN atau UMNO.

“Tiada (pertemuan dengan mana-mana pemimpin BN atau UMNO), tetapi ada berbalas WhatsApp sekali-sekala. Tapi saya memang dah jangka,” ujarnya.

Malam tadi, Wan Norashikin, yang ditemani suaminya, Setiausaha PAS Kawasan Tapah, Muhammad Noor Farid Zainal hadir menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Pas semasa Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang diadakan di Kampung Tanjung Keramat, di sini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bekas Exco Perak sertai PAS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI