IPOH – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Syiling Peringatan LPP50 bagi mengenang jasa peladang, penternak dan nelayan di negara ini.
Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata, Syiling Peringatan LPP50 itu dikeluarkan bersempena 50 tahun Jubli Emas LPP yang telah disambut awal Februari lalu.
Menurutnya, pembelian syiling emas yang dikeluarkan oleh BNM itu boleh dibuat melalui LPP pada harga RM10 bermula 1 Disember 2023.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak BNM kerana sudi bekerjasama dengan LPP untuk mengeluarkan syiling kenangan LPP ke-50.
“Syiling ini dicetak menggunakan teknologi dengan meletakkan gambar usahawan peladang, petani dan pesawah yang di atas permukaan syiling tersebut,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 6,000 keping syiling akan dijual dan keutamaan diberikan kepada peladang dan nelayan.
“Keutamaan kita untuk menjual syiling itu kepada peladang. Kita ada lebih kurang 900,000 peladang di seluruh negara.
“Ada juga yang jadi ahli Peladang berpuluh tahun, jadi ada kenangan yang mereka boleh diperolehi menerusi pengeluaran syiling khas ini,” katanya.
Untuk rekod LPP ditubuhkan pada 14 Februari 1973 di bawah Akta Lembaga Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 110) bagi mendaftar, mengawal dan menyelia kegiatan pembangunan ekonomi masyarakat tani yang dilaksanakan menerusi
institusi Pertubuhan Peladang.
Sejak ditubuhkan, LPP telah menerajui 295 Pertubuhan Peladang dengan 965,195 ahli di seluruh negara dan hasilnya, kedudukan ini membolehkan LPP mewujudkan pergerakan Pertubuhan Peladang yang mantap dan bermanfaat kepada komuniti peladang.
Pencapaian ini selaras dengan misi dan visi LPP untuk menjadi peneraju kecemerlangan institusi Pertubuhan Peladang yang dinamik dan tangkas dalam industri berasaskan agromakanan serta kekal relevan dan sesuai seiring dengan perubahan masa.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyempurnakan Majlis Pelancaran Siling Emas LPP50 di pentas Agro Millenia pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, pada Sabtu.
HPPNK 2023 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bermula Jumaat hingga Ahad memasuki siri ke-48 itu mengangkat tema ‘Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’.
Penganjuran HPPNK bertepatan dengan aspirasi sambutan yang memberi tumpuan kepada aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0).
Ia juga sebagai platform bagi peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan pendedahan baharu, mengembangkan jaringan kerjasama serta membuka peluang strategik kepada potensi perniagaan sepanjang sambutan itu berlangsung. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Syiling Peringatan LPP50, kenang jasa peladang, penternak, nelayan […]
Bagaimana cara membeli coin peringatan 50 tahun LPP?