HPPNK 2023: Lebih 200,000 pengunjung direkodkan

IPOH -Lebih 200,000 pengunjung direkodkan mengunjungi sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 dalam tempoh dua hari penganjurannya di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini pada Sabtu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya menjangkakan jumlah berkenaan bertambah pada hari terakhir HPPNK 2023 dan menjangkakan sasaran 350,000 pengunjung dapat dicapai.

Menurutnya, sambutan HPPNK pada kali ini dilihat paling meriah sepanjang penganjurannya dengan kehadiran pengunjung dari seluruh negara.

“Biarpun cuaca hujan pada hari ini, namun kehadiran cukup memuaskan dan disebabkan itu kita menjangkakan matlamat untuk kehadiran pengunjung lebih 350,000 dapat dicapai memandangkan hari terakhir adalah hari cuti.

“Malam ini kita ada perarakan dan persembahan Jamal Abdillah manakala malam esok daripada Ramli Sarip, saya harap kehadiran sasaran pengunjung dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah sempena HPPNK 2023 di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata sentiasa memberi perhatian pada Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah dalam usaha meningkatkan penyertaan golongan belia dalam pertanian.

“Antara usaha termasuklah memudahkan urusan pinjaman bagi mereka yang berhasrat membuka perusahaan baharu berkaita  pertanian dan agro makanan.

“Kita sedang berusaha untuk membantu mereka termasuk menyalurkan permohonan kepada Agrobank jika mereka hendak buka perusahaan baru,” jelasnya.

Terdahulu Agrobank menerima dana RM1.8 juta menerusi Unit Agropreneur Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Setakat ini, sebanyak lima institusi pengajian tinggi (IPT) dan satu kolej vokasional sudah menyertai Program Pembangunan Belia Tani di Kalangan Siswazah (PROBEST) membabitkan 100 peserta menerima manfaat.

Peruntukan dana yang diberikan itu adalah untuk pembangunan infrastruktur projek, bimbingan teknikal daripada syarikat peneraju dan latihan keusahawanan Agrobank. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Syiling Peringatan LPP50, kenang jasa peladang, penternak, nelayan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI