KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) melahirkan rasa teruja selepas Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyerlahkan sepanduk kempen calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan berkata, tanpa campur tangan Dr. Muhamad Akmal, poster kempen parti itu mungkin tidak mencapai khalayak yang lebih meluas.
Bagaimanapun, menurut beliau, sepanduk yang dinaikkan PSM itu menyatakan fakta yang benar ketika Barisan Nasional (BN) cuba menampilkan parti itu mendukung perpaduan, manakala Pas digambarkan sebagai sebuah parti ekstrem.
Ujarnya, hujah `pilih yang kurang memudaratkan’ telah lama digunakan oleh Pakatan Harpaan (PH) dan BN untuk melawan Pas dan Perikatan Nasional (PN).
“Mesej yang disampaikan oleh PSM sebenarnya meletakkan UMNO setanding dengan Pas, dan BN berbohong apabila ia mengatakannya menggalakkan perpaduan.
“Pas telah mempromosikan naratif “Undi UMNO = Undi DAP”. Kami belum nampak lagi Akmal membantah itu.
“Walau bagaimanapun, Akmal tidak perlu meminta PSM untuk menjelaskannya.
“Kami pasti Tan Teik Cheng daripada MCA, pemimpin Pemuda DAP Woo Kah Leong, Menteri Pelancongan, Tiong King Sing dan malah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli boleh bersetuju dengan kami mengenai Akmal.
“Mereka semua merupakan sebahagian daripada Kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, Dr. Muhamad Akmal mempersoalkan sepanduk kempen PSM pada PRK Ayer Kuning yang sedang berlangsung ketika ini yang menggunakan gambar beliau dengan tulisan berbahasa Cina yang bermaksud `Undi Barisan Nasional (BN) adalah sama dengan undi Dr. Akmal’.
Sedangkan, kata Dr. Muhamad Akmal, beliau tidak bertanding pada PRK itu, sekali gus mempersoalkan sama ada PSM takut dengan kehadiran beliau.
Dalam pada itu, Arutchelvan menyeru para pengundi menolak semua parti politik yang mendorong rasisme.
“Akmal mendakwa bahawa dia hanya melawan mereka yang menyentuh isu 3R.
“Kami pasti bahawa terdapat lebih banyak aduan polis yang dibuat terhadap Akmal mengenai isu 3R berbanding mana-mana pemimpin PSM,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung Sabtu ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (PSM). – MalaysiaGazette