TAPAH – Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, berpuas hati dengan gerak kerja jentera parti sepanjang tempoh dua minggu berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Bawani berkata, jentera parti telah berusaha mendekati segenap lapisan pengundi di semua Unit Daerah Mengundi (UDM) melalui pelbagai pendekatan, termasuk lawatan rumah ke rumah, program ceramah, dan kempen di media sosial.
“Kita mengakui bahawa jentera kita tidak setanding dengan parti lawan seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sama ada dari segi kewangan mahupun saiz jentera,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di sini, pada Jumaat.
Tambah Bawani, beliau turut berpuas hati dengan usaha jentera PSM yang dilihat berjaya memberi saingan hebat kepada BN dan PN.
Dalam pada itu, Bawani memberitahu hasil turun padang sepanjang siri kempen menunjukkan reaksi pengundi yang semakin positif berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Walaupun letih dalam keadaan berpanas dan berhujan, kita tetap cuba mendekati seramai mungkin pengundi DUN Ayer Kuning.
“Kita telah lakukan yang terbaik dan saya rasakan tenaga yang digerakan pada pilihan raya kali ini lebih banyak berbanding PRU15. Dan kini kita serah kepada rakyat untuk buat keputusan,” katanya lagi.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir; calon PN, Abd Muhaimin Malek dan Bawani dari PSM. – MG Perak
Artikel Berkaitan: