Maritim Malaysia rampas bot nelayan tempatan tidak miliki lesen

KUALA KURAU – Sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat rawa sorong, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kurau, pada kedudukan 1.6 batu nautika barat laut Bagan Panchor, pada malam Sabtu.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, bot tersebut dikesan oleh bot peronda yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang sebelum dirapati untuk pemeriksaan.

Menurut Mohd Najhan, hasil pemeriksaan menemukan, seorang tekong warga tempatan berusia 44 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati, ia tidak memiliki lesen dan serawan pukat rawa sorong ditemukan berada di atas bot terbabit.

“Tekong kemudiannya ditahan manakala bot dan peralatan menangkap ikan dirampas untuk siasatan sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengoperasikan vesel tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11(b) akta yang sama iaitu memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

“Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi
undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

“Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang
ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian
05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Maritim Malaysia rampas 50 unit bubu naga

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI