IPOH – Jumlah pengunjung Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 dijangka mencecah lebih setengah juta sehingga malam ini.
Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, acara yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya itu menerima jumlah pengunjung yang memberangsangkan.
“Ini bermakna penglibatan dalam soal keterjaminan makanan ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab kepada pihak kerajaan semata-mata malah turut menjadi peranan yang dimainkan semua pihak termasuk swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakyat.
“Jadi kita harap dalam hal sama ini, semua pihak dapat mengambil semangat menerusi penganjuran acara tiga hari ini untuk kita menyemarakkan lagi dalam soal keluaran makanan tempatan.
“Ini secara tidak langsung akan membantu negara mengurangkan kepada kebergantungan kerajaan terhadap import makanan,” katanya ketika berucap selepas Majlis Penyampaian Hadiah bersempena HPPNK 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini pada Ahad.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan penyampaian sumbangan Tabung Palestin daripada Majlis Kebajikan Sukan dan Rekreasi Lembaga Pertubuhan Peladang yang berjumlah RM41,145.
Terdahulu dalam ucapanya Mohamad berkata, HPPNK 2023 menerima kehadiran 488,662 orang pengunjung secara fizikal dan atas talian setakat jam 12 tengah hari tadi.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, acara berkenaan menerima kunjungan seramai 452,647 orang pengunjung hadir secara fizikal dan 36,015 orang secara atas talian.
“Sepanjang HPPNK 2023 berlangsung ia juga melibatkan jumlah transaksi sebanyak RM2.68 juta.
“Jumlah nilai transaksi ini membuktikan rakyat Malaysia datang berkunjung di HPPNK 2023 untuk mendapatkan barangan keperluan asas yang dijual dengan harga yang berpatutan selain menikmati setiap fokus dan segmen yang ditawarkan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad menambah, di bawah fokus Agro Madani, para pengunjung diraikan dengan pelbagai produk jualan keperluan asas harian dan produk hasil pertanian menerusi Jualan Agro Madani
“Ada 3,000 buah bakul Agro Madani; lebih 9,000 kampit beras dengan harga RM26 per kampit; 270,000 biji telur; 200 gerai dan lot gerai Agro Madani; empayar makanan, Industri Asas Tani (IAT) dan Florikultur serta pelbagai lagi yang benar-benar menarik pengunjung datang.
“Malah, saya mendapat maklum balas sepanjang tiga hari sambutan ini, para pengunjung sangat seronok dalam menikmati simulasi ‘combine harvester simulation’ yang memberi peluang untuk merasai suasana sebenar mengendalikan jentuai padi semasa proses penuaian di lapangan,” katanya lagi. -MG Perak.
Artikel Berkaitan: