Penceramah luar dilarang mengajar agama tanpa tauliah di Perak

POH Kerajaan Perak tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyampaikan ceramah atau kuliah agama di masjid dan surau tanpa tauliah sah daripada pihak berkuasa agama negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya setiap aktiviti keagamaan di negeri ini dipantau secara berhemah mengikut garis panduan ditetapkan.

Menurutnya, pemberian tauliah bukan sekadar formaliti, sebaliknya sebagai langkah kawalan bagi memastikan penyampaian ilmu agama tidak disalahgunakan oleh individu yang tidak melalui proses saringan dan penilaian.

“Sebab itu perlu wujudnya garis panduan dan pengawasan. Sebab itu tuanku bertitah supaya mereka yang nak berceramah nak menjadi pengkuliah ini perlu ada tauliah.

“Tauliah ini tuanku sampaikan sendiri kepada mereka. Sebelum dapat tauliah, dia (penceramah) terbabit terlebih dahulu melalui beberapa proses.

“Ada temuduga dan berbagai proses sehingga jawatankuasa berpuas hati bahawa mereka itu layak. Sebab ada orang ini, ada sebahagian orang dia ada ilmu,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kitab Bagi Tujuan Bacaan di Masjid, SDJ dan Surau Ta’addud Jumaat Seluruh Negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, orang luar tidak dibenarkan datang berceramah tanpa mengetahui latar belakang mereka yang mungkin berbeza mazhab atau membawa fahaman yang tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Ini perkara berkaitan akidah. Maka mereka yang mempunyai tauliah telah diperakukan oleh jawatankuasa berkenaan bahawa mereka memiliki ilmu dan kemahiran untuk menyampaikan ceramah atau kuliah.

“Justeru, tiada mana-mana masjid atau pihak seharusnya menjemput penceramah yang tidak memiliki tauliah. Jika berlaku, ia jelas mencemari titah Tuanku,” katanya.

Sementara itu, Zamri memaklumkan bahawa proses pemutihan tauliah telah dilaksanakan sejak tahun lalu bagi memastikan hanya individu yang layak dan aktif dibenarkan menyampaikan ceramah agama.

“Daripada lebih 3,000 pemegang tauliah sebelum ini, hanya sekitar 1,300 dikenal pasti masih aktif selepas proses penilaian semula dilakukan.

“Kita juga laksanakan tempoh sah tauliah selama lima tahun dan mewajibkan pemegangnya mengisytiharkan latar belakang serta penglibatan mereka sebelum tauliah diperbaharui,” katanya.

Ujarnya, bagi individu luar yang ingin menyampaikan ceramah di Perak, permohonan perlu dibuat melalui Jawatankuasa Pengawasan di peringkat daerah yang diketuai Orang Besar Jajahan, Pegawai Daerah serta Ketua Polis Daerah dengan nasihat Pegawai Tadbir Agama (PTA). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiga kitab asas imarahkan masjid waktu Maghrib-Isyak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI