14 pelajar Anak Angkat Cikgu Saarani cemerlang SPM terima komputer riba

PARIT – Seramai 14 orang pelajar di bawah Program Anak Angkat Cikgu Saarani menerima komputer riba selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Komputer riba itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sewaktu Majlis Pelancaran Mahasiswa Perak Sejahtera 2030 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, di sini pada Isnin.

Pemberian ini bertujuan meringankan beban kepada pelajar terbabit yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Salah seorang penerima, K Tamilvili, 18, yang mendapat keputusan 11A mengucapkan terima kasih dan sangat gembira apabila menerima komputer riba tersebut.

14 pelajar Anak Angkat Cikgu Saarani cemerlang SPM terima komputer riba
K Tamilvili, 18, pelajar di bawah Program Anak Angkat Cikgu Saarani yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 MEI 2025.

Menurutnya, inisiatif Program Anak Angkat Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) banyak membantunya sebagai persediaan bagi menghadapi peperiksaan SPM.

Katanya, menerusi program itu, wang perbelanjaan makanan dapat dijimatkan untuk membeli buku rujukan atau bahan-bahan pendidikan yang diperlukan semasa persediaan peperiksaan.

“Sepanjang mengikuti program tersebut, saya menerima beberapa buku latihan untuk melakukan latih tubi dan sebagai rujukan di rumah sebelum menduduki peperiksaan.

“Inisiatif TCS yang dilaksanakan juga yang amat membantu kami untuk belajar lebih mendalam tentang subjek diajar di sekolah,” kata anak sulung daripada tiga adik beradik itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani, Bidor itu berhasrat untuk menyambung pengajiannya dalam bidang perubatan.

“Ramai juga rakan-rakan di sekolah yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang selepas mengikuti program tuisyen yang diadakan setiap hari di sekolah sehingga jam 3 petang,” jelasnya.

14 pelajar Anak Angkat Cikgu Saarani cemerlang SPM terima komputer riba
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama 14 orang pelajar di bawah Program Anak Angkat Cikgu Saarani yang menerima komputer riba selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 pada Majlis Pelancaran Program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) 2030 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Seri Iskandar. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 MEI 2025.

Anak kepada pasangan pemandu lori dan suri rumah itu turut menitipkan pesanan kepada pelajar yang bakal menduduki SPM tahun ini supaya terus berusaha sehingga berjaya mencapai impian yang dihajati.

“Kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini, teruskan berusaha dan jangan mudah putus asa.

“Sentiasa mengikut segala arahan yang diberikan oleh guru sepanjang berada di sekolah.

“Pada masa sama, kita perlu menghormati guru dan ibu bapa kerana mereka yang banyak mendorong kita untuk mencapai kejayaan,” ujarnya.

Kerajaan Perak melancarkan Program TCS pada tahun 2021 bertujuan untuk membantu pelajar daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negeri ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mahasiswa Perak Sejahtera diperluas ke UiTM Tapah, UPSI tahun depan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI