Hanya 73,488 daftar Tahun 1 usia 6 tahun, jauh lebih rendah daripada anggaran DOSM

KUALA LUMPUR – Seramai 73,488 kanak-kanak berusia enam tahun telah mendaftar ke Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2027 setakat 30 September lalu, jumlah yang lebih rendah berbanding anggaran 439,744 kanak-kanak berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pendaftaran bagi kohort enam tahun itu dibuat susulan pelaksanaan dasar yang memberi pilihan kepada ibu bapa mendaftarkan anak mereka ke Tahun 1 bermula kalendar akademik 2027.

Menurutnya, kemasukan kanak-kanak kohort tujuh tahun kekal sebagai laluan utama sepanjang tempoh peralihan pelaksanaan dasar berkenaan.

“Berdasarkan data setakat 30 September 2026, seramai 73,488 permohonan pendaftaran ke Tahun 1 diterima bagi kalendar akademik tahun 2027 melibatkan kanak-kanak kohort enam tahun.

“Manakala bagi jumlah kanak-kanak kohort tujuh tahun adalah seramai 418,151 orang,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson-PH) mengenai jumlah kanak-kanak berusia enam tahun yang mendaftar ke Tahun 1 sesi persekolahan 2027 berbanding anggaran berdasarkan data DOSM 2022 serta kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kah Woh berkata, KPM mengambil kira pelbagai keperluan termasuk prasarana dan sumber manusia bagi memastikan kementerian bersedia menghadapi peningkatan kemasukan murid susulan pelaksanaan dasar berkenaan.

Katanya, KPM pada masa ini sedang melaksanakan pembinaan 1,478 bilik darjah tambahan baharu melalui 677 projek di 605 sekolah menggunakan konsep IBS modular.

“Ini ditambah dengan bilik darjah yang telahpun ditukar fungsi kepada bilik darjah sebanyak 1,514 bilik darjah tambahan yang telahpun disediakan,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.

Dalam pada itu, Wong berkata KPM turut menyediakan 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan bagi menampung pertambahan enrolmen murid kohort enam tahun.

Menurutnya, guru yang telah lulus saringan kesihatan akan menerima tawaran lantikan pada bulan ini manakala lantikan sebenar akan dibuat pada 7 Disember 2026.

“Seperti yang saya sebut tadi, kesiapsiagaan kita daripada segi guru, dari segi prasarana, kita bersedia.

“Namun demikian, apabila kita nampak trend peningkatan, dalam jawapan saya lebih kurang tiga bulan yang lepas sampailah hari ini dia lebih kurang sama sahaja.

“Maka kita tidak menjangka dia akan ada satu kenaikan mendadak dalam masa dua bulan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan KPM akan terus memantau perkembangan pendaftaran bagi memastikan kesiapsiagaan dapat diselaraskan sekiranya berlaku peningkatan mendadak.

“Tetapi seperti yang saya sebut, kita akan buat pemantauan dari masa ke semasa. Apa-apa yang disediakan ini memang cukup pada kadar ini,” katanya.

Kah Woh berkata, pendekatan KPM pada tahun pertama pelaksanaan dasar itu memberikan peluang dan pilihan kepada ibu bapa kerana mereka paling memahami keadaan serta tahap kesediaan anak masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI