Penyedia telekomunikasi perlu tingkat keselamatan infrastruktur – Exco Perak

IPOH – Kerajaan Perak mahu penyedia telekomunikasi meningkatkan tahap keselamatan infrastruktur dan peralatan masing-masing bagi mengekang sebarang kegiatan kecurian atau vandalisme terhadap infrastruktur rangkaian telekomunikasi di negeri ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, kerajaan negeri sedang merangka garis panduan khusus bagi memastikan pihak penyedia berkenaan tidak hanya bergantung kepada kerajaan negeri dalam menangani isu keselamatan infrastruktur telekomunikasi.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan menerusi Jawatankuasa Integriti dan Keselamatan Rangkaian Negeri Perak sebelum dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diperhalusi.

“Kita akan tekankan dari segi keselamatan, di mana syarikat telekomunikasi kena lebih berperanan untuk memastikan setiap infrastruktur dan peralatan mereka dipelihara serta meningkatkan tahap keselamatan.

“Kita mahu mereka turut membantu dengan memperkemas sistem keselamatan terhadap peralatan masing-masing dan perkara ini akan dibawa ke peringkat ibu pejabat MCMC untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Novus Transact (Malaysia) Sdn Bhd, sempena Konvensyen Inovasi Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut Mohd Azlan berkata, usaha mengekang kegiatan vandalisme dan sabotaj terhadap infrastruktur telekomunikasi di negeri ini turut dipergiat menerusi Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Kata beliau, sehingga Jun lalu, sebanyak 310 kes kecurian kabel dan vandalisme terhadap rangkaian telekomunikasi direkodkan, dengan 125 kes sudah dituduh manakala 67 kes pula dibuka kertas siasatan mengikut seksyen berkenaan.

“Sekiranya penyedia telekomunikasi gagal menjaga peralatan mereka sendiri, mungkin kita fikir akan kenakan tindakan kerana mereka juga perlu bertanggungjawab memeliharanya dengan sebaik mungkin.

“Pada masa sama, tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan vandalisme atau mengganggu infrastruktur telekomunikasi akan terus dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Dua lelaki ditahan curi kabel elektrik, sekolah rugi RM50,000

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI