SITIAWAN – Seorang wanita warga emas cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Volvo terbabas dan melanggar restoran makanan segera KFC di Jalan Haji Mohd Ali dekat sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.09 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Manjung digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan itu.
“Ketika tiba di lokasi didapati seorang wanita warga emas berusia 70-an yang merupakan pelanggan restoran, tersepit di bawah kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, operasi dikawal sepenuhnya pada jam 9.30 malam dan tamat pada jam 9.49 malam.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan kenderaan berkenaan berada di dalam premis berkenaan dengan keadaan remuk teruk di bahagian hadapan selepas dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum hilang kawalan lalu merempuh restoran terbabit.
Difahamkan kereta tersebut dipandu seorang lelaki dan kejadian terbabit mengakibatkan sebuah keluarga yang sedang makan di restoran tersebut mengalami kecederaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: