Tragedi MH17: Jangan mudah terheret permainan kuasa besar

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim membidas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung gesaannya agar Perdana Menteri tidak mendiamkan diri dalam isu tragedi pesawat MH17 semasa mengadakan lawatan rasmi ke Rusia ketika ini.

Menerusi hantaran di laman X, Muhammad Kamil yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan, semua pihak tidak seharusnya mudah terheret dengan permainan kuasa-kuasa besar dengan membantu menghalakan peluru musuh ke arah kita.

Katanya, mempolitikkan tragedi MH17 adalah tingkat paling bawah untuk membenih dan mengaut laba politik murahan.

“’Kebetulan’ laporan ICAO (Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) tersebut hanya dikeluarkan lewat malam semalam, sehari sebelum Perdana Menteri tiba di Moscow. Undangan kepada PM bukan dipanjangkan oleh Kremlin pada minggu lalu, tetapi beberapa bulan sebelum ini.

“Malah, semasa kunjungan PM ke Vladivostok tahun lalu undangan yang sama telah disampaikan.

“Justeru, apa yang penting adalah laporan tersebut tidak seharusnya dieksploit dan ditunggang oleh pihak-pihak yang picisan dan dangkal isu,” katanya di laman sosial tersebut.

Semalam, Belanda dan Australia menggesa ICAO supaya mendesak Rusia memulakan rundingan berhubung insiden tembakan jatuh terhadap pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Menurut kerajaan Belanda, ICAO memutuskan pada Ahad bahawa Russia bertanggungjawab terhadap nahas pesawat MH17 dan telah melanggar Konvensyen Chicago 1944 mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa.

Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp menyambut baik keputusan itu dan menegaskan bahawa ICAO kini perlu meneliti kemungkinan pampasan.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menegaskan, Malaysia sudah tentu akan terus mendukung segala usaha bagi menegakkan keadilan buat mangsa dan waris tragedi MH17.

Malah katanya, rekod Malaysia di pentas dan arena diplomasi kekal cemerlang, bijaksana dan tegas seperti yang ditonjolkan dalam pelbagai siri lawatan dan kunjungan rasmi Perdana Menteri.

“Malaysia tidak berhasrat untuk berganjak dari posisi ini. Dan Insya-Allah, kunjungan rasmi ke Rusia ini tentunya akan membuahkan hasil, meneruskan momentum serta memberi laba kepada negara dan rakyat lantas meletakkan Malaysia sebagai negara yang tegas, bermaruah dan berwibawa,” tambahnya.

Terdahulu, Ahmad Fadhli menerusi hantaran di Facebook berkata, kehadiran perdana menteri ke negara itu berlaku dalam waktu yang sangat sensitif, susulan keputusan rasmi ICAO sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine pada Julai 2014. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI