Nahas FRU: Seorang anggota dibenarkan pulang – Polis

TELUK INTAN – Seorang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) stabil dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, telah dibenarkan keluar dari hospital pada 9.30 malam Rabu.

Katanya, pihak polis telah menguruskan perjalanan pulang mangsa ke kediaman keluarganya di Arau, Perlis dengan menggunakan perkhidmatan ambulans swasta, pada Khamis.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) HIilir Perak telah menguruskan rumah rehat untuk waris dan pengangkutan mangsa.

“Mangsa dan waris dibawa pulang ke kediaman keluarga di Jejawi, Arau,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu Bakri telah melawat dan menyantuni Muhammad Aniq Taufiq serta keluarga di sebuah rumah rehat di Taman Melor, dekat sini.

Muhammad Aniq mengalami kecederaan dalaman iaitu di paru-paru dan lebam di pinggang dalam nahas jalan raya di Teluk Intan pada Selasa.

Pada Rabu media melaporkan tiga anggota Unit FRU yang dirawat di Hospital Teluk Intan masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

Anggota terbabit ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.

Empat lagi anggota yang cedera dilaporkan sedar dan dalam keadaan stabil menerima rawatan di wad biasa Hospital Teluk Intan sementara seorang dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk menjalani pembedahan akibat kecederaan dalaman.

Dalam kejadian sekitar jam 8.50 pagi, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus – Sungai Lampam, dekat sini.

Lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dan seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bapa anggota FRU hampir pitam ketika semadikan anak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI