LENGGONG – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sentiasa menggalakan penyertaan koperasi dalam sektor agro pelancongan dan pertanian sebagai usaha menambah pendapatan gerakan masing-masing.
Pengerusinya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, ia juga selari dengan hasrat kerajaan memastikan keterjaminan makanan negara dan Tahun Melawat Malaysia tahun 2026.
“Pelancongan dan pertanian ini merupakan salah satu aktiviti yang boleh meningkatkan pendapatan koperasi-koperasi mikro, kecil dan sederhana.
“SKM sentiasa memberi penerangan kepada gerakan koperasi mengenai peluang yang ada serta geran dan pinjaman tertentu yang ditawarkan bagi akiviti agro pelancongan,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.
Beliau berkata demikian sempena Program Eksplorasi Pasaran, Advokasi, dan Konsultansi Gerakan Koperasi Negeri Perak 2025 bertemakan ‘Moh Terokai Peluang Perniagaan Bersama Kerajaan Negeri Perak’, di Ladang Ternakan Rusa PROSPEK Lenggong, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Setiausaha Ahli Lembaga SKM Cawangan Perak, Rozdeen Jaafar dan Pengarah SKM Cawangan Perak, Zuhaini Romli.
Mengulas mengenai program Ahmad Norihan berkata, ia merupakan kerjasama antara SKM Perak dengan Koperasi Penggerak Ekonomi Lenggong Berhad dan Koperasi Lenggong Geopark Berhad.
Beliau berkata, sebanyak 14 buah koperasi yang terlibat dalam aktiviti agro dan ekopelancongan dari seluruh negeri Perak telah diberikan taklimat perkongsian pengalaman dan kejayaan projek oleh koperasi.
“SKM juga memberi taklimat kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh Suruhanjaya dan Sesi ‘engagement’ peluang perniagaan oleh Pengerusi Suruhanjaya bersama gerakan koperasi negeri Perak.
“Selain itu, program ini juga menjadi satu platform bagi meneroka, memupuk dan menggalakkan kepelbagaian aktiviti kepada gerakan koperasi tanpa bergantung dengan beberapa bidang keberhasilan yang sedia ada,” katanya. -MG Perak