Lebih 4,000 pengunjung semarakkan Karnival Sukan DUN Kota Tampan 2026

LENGGONG – Lebih 4,000 pengunjung membanjiri Karnival Sukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan 2026 yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat kesukanan di Padang Astaka Bunga Raya, Majlis Daerah Lenggong di sini hari ini.

Karnival yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah merangkap Ahli Parlimen Lenggong.

Program yang dianjurkan bersama Majlis Daerah Lenggong dan Pusat Khidmat DUN Kota Tampan itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan di daerah Lenggong.

Sebanyak tujuh acara sukan dan rekreasi diadakan sepanjang karnival itu berlangsung iaitu Briskwalk @ Fun Run, sukan melibatkan sekolah-sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta sukan membabitkan kanak-kanak di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Selain itu, pertandingan sepak takraw, bola tampar, cabaran penalti serta netball shooting turut mendapat sambutan khususnya daripada golongan belia.

Tidak hanya tertumpu kepada aktiviti sukan, pengunjung turut mengambil peluang mengunjungi Jualan Pasar Sejahtera Rakyat Perak anjuran Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) yang menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga berpatutan.

Sebanyak 20 gerai jualan melibatkan usahawan dan rakyat tempatan turut dibuka bagi memeriahkan program serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.

Bagi menghargai kehadiran orang ramai, penganjur turut menyediakan kiosk makanan dan minuman secara percuma kepada pengunjung, selain mengadakan cabutan bertuah dengan menawarkan 60 hadiah menarik.

Penyampaian hadiah kepada pemenang bagi setiap acara sukan menjadi kemuncak program apabila peserta yang berjaya membawa pulang pelbagai hadiah dan penghargaan atas semangat juang serta komitmen yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.

Karnival tersebut bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat dan menggalakkan budaya hidup sihat, malah memperkukuhkan perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sukan Rakyat@Dun Temengor platform penyatuan komuniti, kerajaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI