Penempatan haram Rohingya di Hulu Langat dirobohkan

KUALA LUMPUR – Sebuah penempatan haram komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat, yang tular baru-baru ini, telah dirobohkan dalam satu operasi, hari ini.

Perkembangan itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz menerusi hantaran video di Facebooknya.

Menurut beliau, perobohan struktur bangunan haram terbabit dilaksanakan sendiri oleh pemilik tanah.

Video berdurasi 1.14 saat itu turut menunjukkan, beberapa struktur bangunan yang dibina di kawasan berkenaan telah dirobohkan menggunakan jentera berat.

Ia turut memaparkan sebuah bangunan dua tingkat yang mengalami kerosakan teruk selepas sebahagian besar strukturnya dirobohkan.

Kerja-kerja perobohan giat dijalankan di sebuah penempatan haram yang menempatkan pelarian etnik Rohingya ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Sungai Tekali, Hulu Langat. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2026.

Turut kelihatan timbunan runtuhan konkrit, kepingan zink dan bahan binaan lain memenuhi kawasan sekitar lokasi.

Tinjauan di lokasi mendapati pemilik tanah berkenaan mula merobohkan sebahagian struktur di penempatan itu sejak 9 pagi tadi dengan menggunakan khidmat dua pekerja serta sebuah jengkaut.

Operasi tersebut bagaimanapun tidak melibatkan bangunan tiga tingkat atau digelar ‘flat Rohingya’ yang tular di media sosial.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berkata, kerja merobohkan struktur penempatan warga Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Tekali, di sini dijangka mengambil masa selama dua minggu.

‘Flat Rohingya’ yang tular di media sosial baru-baru ini bagaimanapun tidak dirobohkan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Sungai Tekali, Hulu Langat. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2026.

Katanya, proses perobohan bermula di bahagian belakang kawasan berkenaan yang melibatkan struktur di atas tanah rizab kerajaan dan sebahagian tanah milik persendirian.

Bagaimanapun, beliau menurut beliau, bangunan tiga tingkat yang tular di media sosial tidak akan dirobohkan buat masa ini kerana ia dibina sepenuhnya di atas tanah milik persendirian.

“Saya dimaklumkan pemilik tanah memerlukan tempoh kira-kira dua minggu untuk merobohkan struktur setingkat di bahagian belakang kawasan itu, bukannya bangunan yang didakwa sebagai rumah pangsa atau flat tiga tingkat yang tular sebelum ini,” katanya apabila dihubungi hari ini.Sementara itu, seorang warga Rohingya yang ditemui di lokasi memaklumkan hanya sebuah keluarga menyewa di bangunan berkenaan sebelum isu berkenaan tular.

Hussein, 31, yang bekerja sebagai tukang rumah berkata beliau pernah menetap di bangunan berkenaan antara 2018 hingga 2020 dengan kadar sewa RM500 sebulan.

“Pada 2020 pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Majlis Daerah Hulu Langat mengarahkan kami berpindah,” katanya. – -MGPerak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI