KUALA LUMPUR – Politik Melayu-Islam dilihat semakin berpecah apabila pelbagai parti dan gabungan terus bersaing untuk mendapatkan sokongan kelompok pengundi yang sama, kata bekas Penasihat Media Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk A. Kadir Jasin.
Menurut beliau, perkembangan terbaharu dalam blok pembangkang termasuk penubuhan Parti Wawasan Negara oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin menunjukkan landskap politik Melayu-Islam terus mengalami perubahan tanpa memperlihatkan tanda-tanda penyatuan.
“Orang Melayu-Islam terus berpecah dan lemah melainkan mereka mengundi satu gabungan yang dalam pertimbangan mereka paling baik untuk mereka,” katanya dalam satu ulasan.
Kadir berkata, penubuhan Parti Wawasan Negara menjawab persoalan mengenai hala tuju politik Hamzah selepas beliau dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu.
Katanya, parti baharu itu juga mengesahkan bahawa Pas kini mempunyai rakan politik baharu selepas menamatkan kerjasama dengan Bersatu baru-baru ini.
“Semalam, Hamzah mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara dan kembali dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
“Dengan penubuhan parti itu, terjawablah teka-teki siapa akan menjadi rakan kongsi Pas dan pengganti Bersatu dalam Perikatan Nasional,” katanya.
Menurut Kadir, gerakan “Reset” yang digerakkan Hamzah dan penyokongnya sejak beberapa bulan lalu kini mempunyai platform politik tersendiri menerusi penubuhan parti berkenaan.
Beliau berkata, perkembangan itu turut membuka babak baharu dalam hubungan antara parti-parti pembangkang susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada 8 Jun lalu.
Pada masa sama, katanya, perhatian kini tertumpu kepada langkah yang akan diambil Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mempertahankan kedudukan parti itu dalam Perikatan Nasional.
“Adalah menarik untuk melihat bagaimana kem Muhyiddin akan bertindak menuntut pemilikan ke atas PN.
“Sebelum ini beliau dilaporkan menegaskan bahawa PN merupakan gabungan politik yang didominasi atau dimiliki oleh Bersatu,” katanya.
Kadir berpandangan Pas kini kembali mempunyai sekutu politik untuk menghadapi pilihan raya akan datang, manakala masa depan Bersatu pula dilihat semakin mencabar selepas kehilangan beberapa pemimpin kanan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perubahan dan penyusunan semula dalam kalangan parti pembangkang tidak mengubah hakikat bahawa politik Melayu-Islam masih berpecah kepada beberapa kelompok yang bersaing mendapatkan mandat pengundi. -MalaysiaGazette


