IPOH – Empat lelaki cedera apabila bumbung garaj sebuah rumah kosong runtuh menimpa mereka ketika sedang berteduh daripada hujan lebat di Jalan St John, di sini petang Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.45 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih digerakkan ke lokasi serta dibantu anggota dari BBP Ipoh.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada mangsa yang selamat, tiga daripada mangsa cedera ringan manakala seorang patah tangan.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas malam ini.
Beliau berkata, anggota melakukan kerja-kerja pemeriksaan dan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada mangsa tertindih di bawah runtuhan tersebut.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.40 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dianggarkan 50 rumah terjejas akibat ribut di Gugusan Manjoi